Categories
BERITA UTAMA PELANCONGAN SELANGOR

Deretan kedai 70 tahun berwajah baru, lebih ceria

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 5 DIS: Sejumlah RM20,000 disumbangkan Kerajaan Negeri bagi menyokong inisiatif mencantikkan sebaris kedai lama di Kampung Baru Sri Berjuntai.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, sebahagian peruntukan digunakan bagi membaiki bumbung rosak di 12 kedai terlibat.

Katanya, selebihnya pula dibelanjakan bagi mengecat bumbung deretan kedai berusia lebih 70 tahun itu dengan reka bentuk beridentitikan Batang Berjuntai.

“Kerajaan Negeri amat menggalakkan usaha sebegini, terutama dalam mencipta mercu tanda kampung baru di sini.

“Mungkin usaha ini juga dalam menjadi tarikan pelancong pada masa hadapan seterusnya mencambah pertumbuhan ekonomi di kawasan luar bandar ini,” katanya.

Terdahulu, beliau menyerahkan cek kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Kampung Baru Sri Berjuntai, Yoong Hoi Keun, di sini, hari ini.

Ean Yong berkata, penduduk turut memberikan kerjasama baik bagi menjayakan inisiatif berkenaan.

“Di peringkat awal lagi, jawatankuasa terlibat berjumpa secara empat mata dengan setiap pemilik bagi menjelaskan tujuan kita.

“Selepas semua bersetuju dan memberikan sokongan, kita mulakan kerja sejak seminggu lalu dan kini ia hampir siap sepenuhnya,” katanya.

=EZY=