Categories
SELANGOR

Gagal saingi KPI MB, media BN bina persepsi negatif

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU KELANG, 15 DIS: Menyedari tidak mampu menyaingi Indeks Prestasi Utama (KPI) Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Umno-Barisan Nasional (BN) didakwa terpaksa menggunakan helah kotor dengan sengaja menimbulkan persepsi negatif terhadap imej Dato’ Menteri Besar itu.

Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib berkata, persepsi negatif itu disebarkan media kawalan Umno-BN.

“Dato’ Menteri Besar seorang tokoh besar tetapi berhadapan masalah persepsi yang dicipta media milik musuh politiknya untuk menjatuhkan beliau, sedangkan KPI beliau berkhidmat kepada rakyat Selangor sangat cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra Pimpinan Bersama Rakyat 2017, di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Hulu Kelang di sini, hari ini.

Katanya, selain kerap turun padang, Mohamed Azmin juga memiliki visi jauh ke hadapan bagi memastikan Selangor terus berkembang maju.

Saari berkata, Kerajaan Negeri pimpinan Mohamed Azmin turut dikenali sebagai kerajaan yang memiliki idea segar dalam memberi khidmat kepada rakyat.

“Antara idea segar itu ialah 42 inisiatif menerusi Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) untuk dinikmati rakyat Selangor,” katanya.