Categories
ADN SELANGOR

40 pelajar susah di DUN Hulu Kelang dapat bantuan sekolah

GOMBAK, 20 FEB: Seramai 40 pelajar kurang berkemampuan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang menerima bantuan kembali ke sekolah hari ini.

Wakil rakyatnya Saari Sungib berkata setiap seorang diperuntuk RM100 dengan memilih sendiri kelengkapan di Pasaraya Hari-Hari di Taman Permata di sini.

“Kita beri peruntukan keseluruhan RM4,000 dan mereka boleh pilih beg, baju, alat tulis atau kasut yang diinginkan. Kita khususkan kepada pelajar sekolah dan Persatuan Kebajikan Ar-Rayyan Malaysia diberi tanggungjawab menguruskan program itu hari ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan sumbangan tong sampah kepada penduduk Flat PKNS AU1A/1 di sini.

Saari berkata bantuan sama diagihkan secara tunai tahun lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang turut memanfaatkan 40 pelajar.

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat Hulu Kelang hulur bantuan kepada mangsa banjir Kampung Jawa

HULU LANGAT, 1 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang hari ini menyampaikan sumbangan kewangan kepada 18 keluarga di Kampung Jawa Batu 19 di sini yang terjejas dalam kejadian banjir pertengahan Disember lalu.

Saari Sungib berkata kehadiran ke perkampungan itu juga untuk memberi semangat moral kepada penduduk yang masih bersedih dengan tragedi berkenaan.

Menurutnya, beliau terpanggil membantu selepas melihat penderitaan penduduk yang ada kediamannya musnah sepenuhnya dalam kejadian 18 Disember lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang Saari Sungib. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Jadi saya hadir dengan bawa sumbangan dan mendengar permasalahan untuk meringankan sedikit penderitaan mereka,” katanya ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada penduduk terbabit di sini hari ini.

Kampung itu antara kawasan paling terjejas di Hulu Langat dengan tiga rumah dilaporkan musnah sepenuhnya dalam bencana terburuk dalam tempoh 50 tahun lalu.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Wakil rakyat Hulu Kelang tekad majukan pelancongan

KEUNIKAN kuarza tulen di Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS) berusia 200 juta tahun yang menyerlahkan landskap Hulu Kelang mahu dimanfaatkan oleh Ahli Dewan Negerinya.

Saari Sungib, 63, melihat jajaran mineral terpanjang di dunia iaitu sejauh 14 kilometer dengan lebar 200 meter mampu menjadikan Kampung Kemensah sebagai destinasi pelancongan apatah lagi kedudukannya dekat dengan ibu negara.

PKGS merangkumi Bukit Tabur yang terkenal dalam kalangan pendaki manakala Kampung Kemensah popular dengan kejernihan sungai dan kehijauannya. Selain itu, ada tarikan lain termasuk restoran makan dalam sungai dan Zoo Negara meski ada cadangan memindahkannya ke lokasi lain berikutan kedudukannya dihimpit pembangunan pesat.

Mesra dengan panggilan Pak Abu, beliau membuat perancangan dari segi pendakian dan kawal selia di PKGS tanpa menjejaskan alam sekitar. Itu selaras usaha mendapat pengiktirafan sebagai tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Beliau turut dibantu individu berkemahiran dalam bidang tertentu termasuk pendaki Gunung Everest, Azim Afif Ishak dan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) selain pihak berkuasa lain.

“Kita sokong usaha Kerajaan Negeri memeliharanya dan pada masa sama menjana pendapatan. Contohnya mengehadkan kumpulan yang memasukinya dan denda bagi yang melakukan pencemaran. Selain itu, perlu ada pemandu arah khas yang diberi upah.

Saari Sungib

“Kampung Kemensah sesuai untuk pelancongan. Ada sungai cantik dan pelbagai aktiviti seperti menaiki ATV (kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi),” katanya kepada SelangorKini.

Menjadi wakil rakyat sejak 2008, Saari yang terkenal sebagai pemimpin mahasiswa semasa belajar di United Kingdom turut mementingkan kebajikan masyarakat. Beliau membelanjakan sebahagian besar RM800,000 peruntukan ADN kepada rakyat.

Turun padang

Ketika wabak Covid-19 memuncak Mac lalu, beliau di sebalik menghidap penyakit Parkinson tidak memperlahankan langkah, bahkan kerap turun padang bagi menghulurkan bantuan makanan asas kepada penduduk terjejas.

Saari juga tidak melupakan kepentingan aspek prasarana dan sering membangkitkannya kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan agensi berkaitan.

Menjadi pembantu EXCO perumahan pada 2008, Saari mahir selok belok bidang itu dan menggunakan pengalamannya untuk membantu menyelesaikan isu rumah terbengkalai. Beliau juga menitik berat soal penempatan penduduk setinggan yang tapak kediaman mereka dibangunkan projek perumahan. Ada yang berpeluang membeli rumah dengan potongan harga atau menikmati pampasan.

Saari juga berharap Kerajaan Negeri memperkasakan pembangunan modal insan bagi melahirkan generasi yang mampu meneruskan kemajuan selain menambah baik kelemahan di Hulu Kelang yang disifatkannya agak ‘comot’.

“Comot kerana masih ada projek terbengkalai dan tidak siap-siap. Saya pun agak rimas juga melihatnya dan harap ia dapat diperbaiki lagi,” kata Pak Abu yang dua kali ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Mudah didekati, tokoh terkenal dengan Risalah Usrah dan pengasas Jamaah Islah Malaysia (JIM) juga sering dijemput menyampaikan ceramah motivasi dan takzirah kerana penerangannya jelas.

Kisah mengenai Saari turut dibukukan dengan judul ‘Abu Urwah: Legenda Tanpa Soroton’ tulisan Dr Hamdi Ibrahim yang dijangka dilancarkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari di Perpustakaan Awam Selangor daerah Gombak pada Oktober ini.

(Maklumat tambahan) Penerima insentif DUN Hulu Kelang
– Skim Mesra Usia Emas: 4,808 orang
– Tabung Warisan Anak Selangor: 2,527 orang
– Skim Insurans Peduli Sihat: 1,386 orang
– Insentif Perkahwinan Belia: 604 pasangan

 

Categories
SELANGOR

Sidang DNS Selangor lulus usul kutuk serangan pengganas Christchurch

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 MAC: Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini meluluskan usul mengutuk serangan pengganas di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac lalu sehingga mengorbankan 50 nyawa termasuk kanak-kanak.

Usul tergempar terbabit dibentangkan Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib.

Saari dalam pembentangan usul itu berkata, asas kepada kutukan terbabit kerana perlakuan penyerang yang tidak bertamadun sehingga sanggup menyerang individu tidak bersenjata di dalam rumah ibadat.

“Ini adalah perbuatan keji dan tidak bermaruah, golongan ekstremisme ideologi dan radikalisme agama dilihat akan merebak sekiranya ia tidak ditangani,” katanya ketika Sidang DNS, di sini, hari ini.

Saari berkata, justeru, Kerajaan Negeri diseru supaya memperkukuhkan dasar dan keharmonian hidup di antara agama, bangsa dan budaya di negeri ini terus kukuh.

“Masjid dan surau di seluruh Selangor juga boleh menjadi landasan untuk menyebarkan mesej keamanan dan persaudaraan serta menghilangkan prejudis yang menebal terhadap agama dan bangsa lain.

“Kefahaman hidup bertoleransi serta kesederhanaan dalam hubungan masyarakat perlu diperkukuhkan dalam konteks masyarakat Malaysia yang berbilang agama, bangsa dan budaya,” katanya.

Categories
SELANGOR

“Biar Saari Sungib duduk sini sampai bila-bila…”

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 7 MEI: Penduduk tempatan, Hasnah Mansor menzahirkan kepercayaan terhadap kredibiliti calon N18 Hulu Kelang, Saari Sungib untuk kekal menjadi wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Hasnah, yang mesra disapa Hajjah Lela mengakui peranan terbaik Saari sejak menjadi wakil rakyat di kawasan itu, pada penggal pilihan raya lalu.

“Saya duduk sini sejak 1982, namun sejak lima tahun kebelakangan ini saya sangat bersyukur dapat seorang Yang Berhormat (YB) yang betul-betul berkhidmat untuk rakyat.

“Saya sebagai ibu tunggal selalu mendapat perhatian daripada beliau yang kerap bertanya khabar, ambil tahu masalah penduduk dan memberi bantuan kepada golongan memerlukan,” katanya.

Katanya, Saari disifatkan sebagai pemimpin yang begitu dekat dengan rakyat, khususnya di Hulu Kelang.

“YB kalau turun melawat kawasan, beliau tak pernah lupa saya sebab saya ada bela ikan, dia akan tanya juga pasal ikan.

“Tiap kali jumpa saya dia akan tanya, ‘apa khabar, Lela? Ikan Talapia apa khabar?’ dia akan tanya macam itu.

“Saya terharu, ada orang yang ambil tahu pasal saya. Kalau boleh biar YB kekal di sini. Biar dia duduk di sini, sampai bila-bila,” katanya menerusi paparan video yang dimuat naik di laman Facebook rasmi, Saari Sungib.

Bukan sekadar itu kata Hasnah, pejabat DUN di bawah pentadbiran Saari tidak pernah meminggirkan nasib masyarakat di kawasan itu.

Katanya, ia dibuktikan menerusi inisiatif pemberian bantuan kepada warga tempatan sejak penggal lalu.

“Wakil kakak dia pun selalu turun padang, bagi beras dan bantuan lain. Sebagai ibu tunggal, saya sangat menghargai peranan beliau bukan kerana pemberian beras itu, tetapi khidmat beliau kepada orang Hulu Kelang,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

IPR pemangkin tambah baik khidmat untuk rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU KELANG, 15 DIS: Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR), di Selangor bukan gula-gula pilihan raya, sebaliknya pemangkin bagi negeri lain menambahbaik perkhidmatan mereka kepada rakyat.

Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib, berkata, langkah Kerajaan Negeri memperkenalkan 42 skim itu juga boleh dianggap sebagai ‘latihan’ sebelum program besar dilaksanakan di peringkat Persekutuan, jika Pakatan Harapan berjaya menawan Putrajaya.

“Skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Kad Peduli Sihat dan lain-lain dalam IPR bukan gula-gula tetapi untuk melatih negara melaksanakan perkhidmatan kepada rakyat dengan pelbagai skim lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra Pimpinan Bersama Rakyat 2017, di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Hulu Kelang, di sini, hari ini.

Katanya, kesan positif itu dapat dilihat apabila Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri lain yang ditadbir Umno-Barisan Nasional (BN) berlumba-lumba meniru skim yang diperkenalkan, di Selangor.

Sebelum itu, program yang dihadiri kira-kira 200 hadirin dimulakan dengan bacaan tahlil.

Turut diadakan, penyampaian sumbangan khairat kematian Skim Mesra Usia Emas (SMUE) fasa pertama sebanyak RM1,000 kepada waris peserta.

 

Categories
SELANGOR

Gagal saingi KPI MB, media BN bina persepsi negatif

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU KELANG, 15 DIS: Menyedari tidak mampu menyaingi Indeks Prestasi Utama (KPI) Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Umno-Barisan Nasional (BN) didakwa terpaksa menggunakan helah kotor dengan sengaja menimbulkan persepsi negatif terhadap imej Dato’ Menteri Besar itu.

Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib berkata, persepsi negatif itu disebarkan media kawalan Umno-BN.

“Dato’ Menteri Besar seorang tokoh besar tetapi berhadapan masalah persepsi yang dicipta media milik musuh politiknya untuk menjatuhkan beliau, sedangkan KPI beliau berkhidmat kepada rakyat Selangor sangat cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra Pimpinan Bersama Rakyat 2017, di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Hulu Kelang di sini, hari ini.

Katanya, selain kerap turun padang, Mohamed Azmin juga memiliki visi jauh ke hadapan bagi memastikan Selangor terus berkembang maju.

Saari berkata, Kerajaan Negeri pimpinan Mohamed Azmin turut dikenali sebagai kerajaan yang memiliki idea segar dalam memberi khidmat kepada rakyat.

“Antara idea segar itu ialah 42 inisiatif menerusi Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) untuk dinikmati rakyat Selangor,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kaji impak IPR, Selangor tekad basmi kemiskinan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 19 MEI: Jawatankuasa Pilihan Khas Basmi Kemiskinan mengadakan rundingan meja bulat bersama Unit Perancangan Ekonomi (UPEN) Selangor untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat.

Pengerusinya, Saari Sungib berkata, perbincangan itu seacara khusus menilai impak Program Inisatif Peduli Rakyat (IPR) dalam membasmi 30 peratus rakyat Selangor yang berada dalam kelompok miskin.

Katanya, Kerajaan Negeri meletakkan paras kemiskinan seisi rumah pada kadar RM1,500 sebulan iaitu 30 peratus berbanding Kerajaan Pusat yang meletakkan kadar kemiskinan RM741 sebulan.

Saari Sungib“Kita sedang menilai dan memantau keberkesanan program IPR agar ia dapat membantu mengurangkan kadar 30 peratus kemiskinan di Selangor.

“Kita panggil semua pihak terlibat berbincang dan menyentuh isu kemiskinan serta menilai bagaimana program mereka efektif dalam mengatasi isu ini,” katanya.

Saari yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang berkata demikian kepada Selangor Kini selepas Pendengaran Tertutup Jawatankuasa Pilihan Khas Pembasmian Kemiskinan di Bilik Mesyuarat Tingkat 1, Bangunan Annex, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai isi kandungan pendengaran itu, Saari berkata, ia tidak dapat didedahkan ketika ini kerana rumusan perbincangan perlu dibentangkan dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) terlebih dahulu.

Namun Saari berkata, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memastikan setiap perancangan itu berupaya membantu mengurangkan tahap kemiskinan di Selangor.

Setakat ini, hampir 38 inisiatif diwujudkan di bawah 17 program IPR dan Kerajaan Negeri sentiasa memikirkan jalan memastikan kekayaan negeri itu dapat diagihkan dengan lebih menyeluruh.

Sejak 2008, Kerajaan Negeri sudah membelanjakan RM1.9 bilion bagi membiayai pelbagai program kebajikannya untuk rakyat.

Categories
NASIONAL

Otai Reformis singkap pengorbanan Anwar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 8 MEI : Walaupun dipenjara, pengorbanan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap perkembangan pembangunan negara tidak boleh dinafikan.

Ketua Otai Reformis, Saari Sungib berkata, khidmat Anwar ketika menggalas jawatan terpenting negara telah membawa perubahan kepada perkembangan positif sehingga kini.

“Beliau telah mengasaskan Persatuan Kebangsaan Islam Malaysia (PKPM) juga Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang merupakan gagasan gerakan Islam ternama dan masih aktif sehingga kini.

OTAI REFORMIS (10)“Ketika berkhidmat dalam kerajaan, beliau pernah memangku Perdana Menteri dan telah memperkenalkan undang-undang anti rasuah yang membenarkan siasatan keadaan kepada pegawai kerajaan yang telah berhenti berkhidmat.

“Pengorbanan dan jasa Anwar sangat besar. Daripada seorang pemimpian mahasiswa, sebagai pemegang porfolio kerajaan, sebagai Menteri dalam pelbagai kementerian sehinggalah kepada pemangku Perdana Menteri dan terakhir sebagai Ketua Pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan petisyen permohonan ampun diserahkan kepada Istana Negara pagi ini, untuk dikemukakan kepada Yang Dipertua Agong, Sultan Muhammad V bagi mendapat perkenan pengampunan diraja daripada Baginda.

Anwar sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri daripada tahun 1993 sehingga 1998, juga sebagai Menteri Kewangan, Menteri Pendidikan, Menteri Pertanian dan Menteri Belia dan Sukan.

Bagaimanapun, kemuncak gelombang Reformasi 1998 menyaksikan Anwar dipecat daripada kedudukannya dan dipenjara pentadbiran Umno Barisan Nasional ketika itu.

Perkembangan itu sekali gus menyaksikan Parti KEADILAN Nasional (PKN) yang ditunjangi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ditubuhkan pada 1999.

Anwar kini menjalani hukuman penjara 5 tahun selepas didapati bersalah atas sabitan liwat ke atas bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhary.

Categories
SELANGOR

Rintihan penjaja dapat perhatian

OLEH LIZAWATI MADFA

PETALING JAYA, 23 OGOS: Rintihan dan permasalahan golongan penjaja menerima perhatian khusus Jawatankuasa Pilihan Khas Pembasmian Kemiskinan Dewan Negeri Selangor (DNS).

Pengerusinya, Saari Sungib, berkata satu laporan berhubung golongan berkenaan akan dibentangkan di DNS pada November nanti.

Katanya, ia merangkumi pembentangan hasil kajian dan syor tertentu untuk tindakan dan perhatian pihak berkenaan.

“Jadi, hari ini kita turun untuk melihat dan membuat bancian di sekitar Taman Medan berhubung permasalahan dan kekangan dihadapi golongan ini terutama dalam mendapatkan lesen dan lokasi berniaga.

JK PENJAJA 1“Kita mahu lihat sama ada mereka menjaja untuk pendapatan sampingan, utama, suka-suka atau sebab lain dan kaji solusi sesuai bagi membantu mereka,” katanya kepada Selangor Kini.

Terdahulu, beliau bersama wakil Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melawat lokasi penjaja tidak berlesen di sekitar Taman Medan.

Turut serta ahli jawatankuasa lain seperti Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan, Haniza Talha, Noor Hanim Ismail (Serdang) dan Lai Nyuk Lan (Sungai Pelek).

Antaranya, mereka melawat penjaja di Jalan 7, Taman Dato’ Harun, PJS 2, Jalan PJS 1/25, PJS 1/Jalan Sri Manja (Tmn Buana), PJS 3 dan Jalan PJS 4/27.

-nR-

Air percuma terus di nikmati rakyat


Pemberian air percuma 20 meter padu kepada rakyat Selangor bagi tahun 2016- MB

Categories
SELANGOR

Petanda baik bila Skimsel capai 90 % bayar balik

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 SEP: Statistik bayaran balik pinjaman Skim Mikrokredit Selangor (Skimsel) dalam kalangan peserta luar bandar mencatat lebih 90 peratus setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Pembasmian Kemiskinan, Saari Sungib berkata, statistik terbaru itu memberi petanda positif dalam mencapai objektif membasmi kemiskinan.

SAARI_SUNGIB“Ini petanda baik dengan terdapat anjakan taraf hidup peserta skim ini apabila mereka dapat membayar balik pinjaman dengan disiplin.

“Ini juga menunjukkan kemahuan dan kesungguhan mereka berusaha meningkatkan pendapatan,” katanya.

Saari berkata demikian kepada Selangor Kini selepas mempengerusikan pendengaran tertutup Jawatankuasa Pilihan Khas Pembasmian Kemiskinan di Bilik Mesyuarat, Bangunan Annex di sini, semalam.

Saari yang juga merupakan Adun Hulu Kelang berkata, ini berbeza dengan peratusan bayar semula peserta Program Mikrokredit Miskin Bandar (Mimbar) yang dianggap masih rendah.

Jelas Saari, pihaknya turut mengambil kira pelbagai faktor termasuk cadangan menambahbaik sistem penyampaian bagi meningkatkan penyertaan dan keupayaan bayaran balik peserta Mimbar.

“Antara punca peratusan bayaran balik rendah termasuklah sikap sesetengah peserta yang cuma mengambil kesempatan menggunakan dana terbabit untuk tujuan lain selain mengembangkan perniagaan,” katanya.

-NR-