Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Isu Baitul Maqdis: Himpunan bantahan di hadapan Kedutaan AS Jumaat ini

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 12 DIS: Pakatan Harapan akan menganjurkan himpunan bantahan di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) Jumaat ini sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin dan menyifatkan isu Baitul Maqdis bukan hanya isu umat Islam malah isu kemanusian sejagat.

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kedegilan dan keangkuhan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel adalah satu pencabulan hak asasi manusia serta melanggar undang-undang antarabangsa dan ianya tidak boleh diterima.

“Bagi menegaskan lagi rasa kecewa dan penolakan Pakatan Harapan terhadap pengiktirafan yang angkuh itu, dan sebagai tanda solidariti bersama rakyat Palestin yang terus dizalimi, maka Pakatan Harapan akan mengadakan satu himpunan bantahan di hadapan bangunan kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, selepas solat Jumaat, 15 Disember ini.

“Kami menyeru kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, termasuk parti-parti politik, NGO, NGI, pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia serta seluruh warga prihatin untuk turun bersama kami untuk menzahirkan bantahan,” katanya.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN beliau berkata Pakatan Harapan telah pun menghantar memorandum ke Kedutaan Amerika Syarikat pada Jumaat lalu sebagai bantahan awal terhadap pengumuman Trump ini.

Katanya, keputusan Trump itu jelas tidak membantu usaha damai konflik panjang di rantau Asia Barat khususnya di Palestin, sebaliknya lebih merumitkan lagi keadaan sekaligus menyalakan api kemarahan dan reaksi bantahan masyarakat dunia.

Menurutnya, sekalipun pengumuman Presiden Trump itu dilakukan demi survival politik beliau menjelang Pilihan Raya Separuh Penggal (Mid-Term Election) Amerika Syarikat, ia adalah suatu tindakan campur tangan ke atas Negara Arab yang melampaui batas.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), OIC dan komuniti antarabangsa tidak pernah mengiktiraf pendudukan Israel di Jerusalem Timur selepas perang 1967 malah menggesa mereka berundur ke sempadan asal mereka pra-1967.

“Ia dikukuhkan lagi dengan Majlis Keselamatan PBB yang bersidang pada 23 Disember 2016 yang telah meluluskan Resolusi 2334 yang mengatakan pendudukan Israel ke atas Jerusalem Timur tidak sah.

“Tindakan AS ini telah pun dibantah oleh Kesatuan Eropah (EU) dan United Kingdom telah mengeluarkan kenyataan bahawa ia tidak akan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv,” katanya.

=EZY=