Categories
NASIONAL

Isu tanah Felda: Hentikan segala ‘wayang’

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 DIS: Kerajaan diminta menghentikan segala ‘wayang’ dan mulakan siasatan berhubung isu hak milik empat bidang tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta.

Naib Presiden KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, beliau terpegun dengan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kononnya tiada sebarang kemungkinan berlakunya salah laku penyelewengan berkenaan isu terbabit.

“Kita ingin melihat Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyempurnakan siasatan dengan segera dan bagaimana peguam negara serius atau tegas mengambil tindakan terhadap kepimpinan lama Felda yang diterajui Tan Sri Isa Samad,” katanya.

Shamsul berkata, Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad juga tidak boleh membuat alasan bahawa beliau kononnya dulu tiada dalam Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) sekali gus beliau tidak tahu apa-apa berkenaan perkara itu.

“Saya pasti ramai terkejut dengan respon dikemukakan Shahrir bahawa isu ‘hilang’ tanah di Jalan Semarak itu dipindah milik tanpa pengetahuan Felda.

“Kita tahu Shahrir dilantik sebagai pengerusi Felda sejak awal 2017 dan mengapa isu jual beli tanah baru kini dibangkitkan, mengambil masa beratus hari baru sedar, hairan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sementara itu, mengulas berkenaan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di laman Twitter, beliau meminta supaya Felda mengambil tindakan sepatutnya bagi melindungi hak kepentingan Felda.

Shamsul berkata, beliau sendiri berasa janggal apabila Najib Razak sendiri seolah-olah prihatin dengan isu tanah Felda yang meminta supaya ia disiasat.

“Saya minta jaminan Najib secara terbuka bahawa beliau tidak akan sama sekali menggunakan kuasa politik untuk menghentikan pendakwaan terhadap mereka yang terbabit.

“Panggil dulu bekas pengerusi Felda, Isa Samad dan mereka yang dikatakan terbabit dalam isu ini, siasat, saya desak supaya semua pihak berlaku adil,” katanya.

Shamsul yang juga selaku Pengerusi Biro Felda Kebangsaan berkata, beliau yakin jika perkara ini berlaku di Kerajaan Selangor sudah pasti SPRM akan datang menyerang malah berkotak-kotak dokumen akan dibawa keluar kononnya untuk membuat siasatan secara teliti.

“Ini yang dikatakan layanan ‘double standard’ diberikan SPRM…Saya pasti rakyat tidak boleh terima kenyataan bahawa tiada unsur rasuah mahupun penyelewengan berkenaan isu jual beli tanah Felda.

“Rakyat terutamanya peneroka Felda sudah pasti mahu melihat mereka terbabit ini dibawa ke muka pengadilan.

“Pada masa sama inilah dikatakan apabila parti yang menerajui kerajaan tidak mengamalkan prinsip ketelusan, maka harta yang nilainya hampir berbillion ringgit boleh hilang dengan begitu mudah,” katanya.

Terdahulu, sumber mendedahkan Felda hilang hak milik tanah bernilai lebih RM200 juta di Jalan Semarak kini dimajukan dengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) dipercayai bertukar milik transaksi yang diragui sejak 2015.