Categories
NASIONAL

Bakke Salleh Pengerusi FELDA baharu

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 JUN: Tan Sri Mohd Bakke Salleh dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang baharu, berkuatkuasa 1 Julai.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pelantikan itu telah dipersetujui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed untuk tempoh dua tahun iaitu sehingga 30 Jun 2021.

Katanya, Mohd Bakke adalah seorang tokoh korporat berintegriti dan berwibawa yang mempunyai pengalaman luas dalam sektor korporat termasuk industri perladangan.

“Saya yakin beliau mempunyai kepimpinan meneruskan usaha mengembalikan FELDA sebagai sebuah agensi yang mampu mengangkat martabat peneroka dan menjamin kelestarian FELDA,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, beliau mengambil maklum hasrat Tan Sri Dato’ Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor melepaskan jawatan sebagai Pengerusi FELDA berkuatkuasa pada 30 Jun 2019.

Katanya, Megat Zaharuddin telah memberi sumbangan idea yang bernas dan progresif dalam usaha Kerajaan Pakatan Harapan membina semula FELDA.

“Beliau bersama pengurusan FELDA yang baru telah berusaha gigih dan memberi sepenuh komitmen untuk menyiapkan Kertas Putih yang menggariskan satu pelan pemulihan ke arah kelestarian FELDA dan telah dibentang dan diluluskan oleh Parlimen.

“Saya menghormati hasrat Tan Sri Megat Zaharuddin dan bersetuju menerima keputusan beliau,” katanya.

Categories
NASIONAL

Langkah Selangor selaras Pusat bina rumah generasi Felda

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 18 JUN: Langkah Kerajaan Negeri memperuntukan kouta sebanyak 500 rumah Idaman Cahaya selaras dengan usaha Kerajaan Persekutuan menyediakan kediaman untuk generasi baharu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan menyediakan peruntukan RM25 juta bagi projek terbengkalai sejak era pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Saya ingin mengambil kesempatan ini dan tahniah kepada Kerajaan Negeri khususnya kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari yang mengambil inisiatif menyiapkan projek terbengkalai yang dijenamakan semula sebagai Idaman Warisan.

“Usaha ini dimulakan pada 2016 selepas hampir dua dekad pembeli menanti ketika saya masih Dato’ Menteri Besar, alhamdullilah usaha diteruskan Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Must Ehsan Development Sdn Bhd bersama Konsortium PNSB-MGB dan Majlis Idaman Warisan serta Majlis Silaturahmi Aidilfitri 2019 di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Mohamed Azmin turut memuji langkah memberi kemudahan tambahan yang mampu memberi keselesaan kepada pembeli seperti mana Rumah Idaman Selangor.

Katanya, beliau diserang dengan pelbagai tuduhan tidak berasas apabila memulakan usaha memulihkan projek terbengkalai itu ketika masih menduduki kerusi Dato’ Menteri Besar.

Categories
NASIONAL

Pemberian insentif peneroka Felda dijangka sebelum Aidilfitri

OLEH NADIAH ZAMLUS

GOMBAK, 23 MEI: Kerajaan dijangka akan menyalurkan pemberian insentif Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sebelum Aidilfitri, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah bertemu dengan pengurusan FELDA bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Saya akan cuba pastikan ia dapat disalurkan sebelum Aidilfitri namun begitu setakat ini tidak ada pemberian duit raya kepada peneroka, memang agak tidak munasabah untuk memberi sebarang janji.

“Ini kerana usaha kita hendak mendapatkan RM6.23 bilion untuk menyelamatkan FELDA juga amat besar,” katanya kepada media selepas menyerahkan sumbangan Aidilfitri kepada penduduk kawasan Gombak Setia, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu pemberian duit raya kepada peneroka FELDA yang menjadi tanda tanya sebelum ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, beliau percaya peneroka FELDA memahami kedudukan kewangan kerajaan agak ‘ketat’, pada waktu ini.

Katanya, ia kerana keutamaan kerajaan adalah bagi memastikan nasib peneroka dapat dibela dalam tempoh jangka masa panjang.

“Saya juga melihat sambutan yang cukup positif kerana mereka memahami kita cukup komited untuk membantu,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

FELDA: Kedurjanaan pentadbiran lalu

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 APR: Pembentangan Kertas Putih dalam isu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bukan sekadar mendedahkan kepincangan dan ‘kedurjanaan’ urus tadbir pentadbiran lalu.

Sebaliknya, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia mencerangkinkan hala tuju dan kelestarian masa hadapan warga peneroka.

Katanya, istilah ‘kedurjanaan’ itu walaupun berat untuk digunakan namun beliau tidak mempunyai pilihan melainkan perlu tegas dan berani tampil ke hadapan membela nasib peneroka.

“Apa yang berlaku sebelum ini, kita melihat bagaimana keupayaan YM Tan Sri Taib Andak dan YM Raja Alias Raja Mohd Ali yang mengangkat FELDA sebagai agensi cukup gemilang.

“Sebelum penyenaraian Felda Global Venture (FGV), FELDA memperoleh keuntungan bersih antara RM200 juta hingga RM1.2 bilion.

“Namun, sebaik sahaja 400,000 hektar tanah komersial diserahkan kepada FGV, ia hanya memperolehi RM400 juta setahun sedangkan ia memerlukan RM800 juta setahun bagi menguruskan ladang.

“Ini satu perkara pengkhianatan dilakukan pengurusan FELDA yang lama, tidak telus, tidak amanah dan tidak jujur, mengkhianati dukungan serta sandaran diberikan peneroka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual bersama Astro Awani di slot Agenda Awani: Menjelang Setahun Malaysia Baharu, malam ini.

Mohamed Azmin berkata, istilah itu juga kuat diperkatakan apabila melihat beberapa urusniaga agensi itu yang membeli aset pada harga lebih tinggi dari pasaran.

Katanya, hasil tindakan ‘kedurjanaan’ itu menyebabkan FELDA menanggung hutang yang membebankan.

“Sebagai contoh, FELDA dipaksa membeli sebuah syarikat milik tokoh usahawan dari Indonesia pada kadar 16 peratus lebih tinggi berbanding harga pasaran bernilai RM2.3 bilion.

“Begitu juga pembelian sebuah hotel di London, harga diberi sebanyak RM331 juta sedangkan harga pasaran lebih kurang RM100 juta sahaja.

“Ini bukan soal jenayah komersial tetapi ini ialah kedurjanaan urus tadbir FELDA yang menyebabkan hutang dan liabiliti ditanggung hari ini amat membebankan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Lawatan kerja Azmin ke FELDA Wilayah Raja Alias esok

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 19 APR: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bakal mengadakan lawatan kerja ke Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Wilayah Raja Alias, Negeri Sembilan, esok sebagai salah satu program libat urus secara langsung dengan peneroka.

Unit Komunikasi Korporat Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam kenyataan berkata, lawatan kerja itu akan turut disertai Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Pengarah Besar FELDA, Dato’ Dr Othman Omar.

Katanya, lawatan kerja itu bertujuan mencerakinkan program dan inisiatif diperkenalkan dalam Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)’ dibentangkan di Dewan Rakyat, pada 10 April lalu.

“FELDA Wilayah Raja Alias adalah wilayah terbesar dalam negara dengan jumlah 46 Kawasan Rancangan FELDA.

“Kertas Putih FELDA memberi gambaran yang sebenar kepada prestasi kewangan agensi berkaitan serta memuatkan rencana proaktif Kerajaan Persekutuan untuk meringankan kesulitan hidup dihadapi peneroka,” kata kenyataan itu.

Kenyataan sama turut menyebut, Kertas Putih itu juga memperkenalkan bantuan kepada perumahan generasi baharu yang terbengkalai dan hala tuju serta Model FELDA Baharu supaya FELDA dan golongan peneroka bangkit semula sebagai pemacu industri pertanian negara.

“Dukungan masyarakat peneroka akan digembleng bagi menjayakan gagasan FELDA Baharu,” katanya.

Categories
NASIONAL

RM2.7 bilion wang FELDA diguna raih sokongan politik

KUALA LUMPUR, 10 APR: Sejumlah RM2.7 bilion wang Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) telah digunakan untuk meraih sokongan politik menjelang pilihan raya umum, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketika membentangkan Kertas Putih FELDA, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini, beliau berkata dapatan itu merupakan antara yang terkandung daripada hasil laporan audit forensik yang disediakan oleh sebuah firma audit bebas profesional.

Kertas itu dibentangkan berikutan kecelaruan pengurusan dan hutang melampau agensi tersebut yang melebihi RM8 bilion.

Mohamed Azmin berkata, Kertas Putih itu turut mendedahkan kedudukan kewangan FELDA bertambah tenat akibat pembaziran berterusan dengan pembelian aset pada kadar yang lebih tinggi daripada harga pasaran.

“Sebagai contoh, pembelian Eagle High daripada PT Rajawali Capital International (yang dimiliki oleh Peter Sondakh) pada kadar 96 peratus lebih tinggi berbanding dengan harga pasaran ketika itu.

“Pada Mac 2019, pelaburan berjumlah RM2.3 bilion itu hanya mempunyai nilai pasaran RM500 juta,” katanya.

Menurutnya, Kertas Putih itu turut mendedahkan situasi FELDA menjadi semakin serius dan parah akibat ‘corporate malfeasance’ atau kedurjanaan urus tadbir korporat.

“Jumlah liabiliti FELDA telah meningkat dengan ketara sebanyak 1,100 peratus daripada RM1.2 bilion pada tahun 2007 kepada RM14.4 bilion pada tahun 2017 berbanding dengan kenaikan nilai aset yang mencatatkan hanya 107 peratus.

“Manakala, keuntungan FELDA jatuh sebanyak 590 peratus dalam tempoh yang sama. Ini menunjukkan bahawa pinjaman hutang tidak menambah nilai kepada FELDA. Sebaliknya, pinjaman yang dibuat oleh FELDA memberikan impak yang buruk kepada kedudukan kewangan FELDA,” katanya.

Mohamed Azmin berkata dapatan audit forensik itu menunjukkan kerugian atau penjejasan nilai aset berjumlah RM2.2 bilion bagi lapan transaksi urus niaga yang disiasat, iaitu 50 peratus daripada nilai pelaburan asal.

Selain itu, katanya, audit forensik tersebut juga mendedahkan kepincangan tadbir urus dan kegagalan kawalan dalaman yang mana ia mendapati konflik kepentingan ketara dalam pengurusan apabila Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang pada masa itu memegang jawatan Pengerusi FELDA turut menjadi pengerusi Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) dan FGV Holdings Berhad (FGV).

Pada masa yang sama, katanya, Mohd Isa juga memegang jawatan pengerusi bagi 39 anak syarikat di bawah FELDA dan FGV selain mempunyai kuasa eksekutif sebagai Pengerusi FELDA.

Beliau turut memberikan contoh mengenai pembelian Park City Grand Plaza Kensington di London yang dibuat oleh Mohd Isa tanpa kelulusan Lembaga Pengarah FELDA dengan harga yang melebihi kadar pasaran dan gagal mengikut dasar pelaburan yang ditetapkan.

“FO1 (Mohd Isa) membeli aset ini pada harga RM331 juta sedangkan harga pasaran ketika itu hanyalah RM128 juta,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, susulan hasil penemuan ini, kerajaan telah mengambil tindakan segera untuk menyelamatkan FELDA dengan membentuk satu pasukan khas di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bersama pengurusan baharu FELDA dan firma profesional.

Menurutnya, pasukan ini memberi fokus kepada penilaian semula kedudukan kewangan, pelaksanaan kajian audit forensik dan pembentukan hala tuju baru FELDA.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

Penyelewengan FELDA bakal dibongkar

OLEH NORHAYATI UMOR

PORT DICKSON, 12 OKT: Kerajaan akan membentangkan Kertas Putih bagi membongkar penyelewengan yang berlaku dalam Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) tidak lama lagi.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya akan mengheret individu bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“Di sini menyaksikan pertandingan tujuh penjuru. Bagaimana kita boleh memberi kemenangan pada orang yang ‘songlap’ duit FELDA.

“Mana wang Tabung Haji, FELDA? Apabila saya lihat nasib peneroka FELDA, saya terkejut kerana lihat institusi berjaya dalam sektor perladangan tetapi membuatkan 120,000 peneroka gawat.

“Mereka yang bertanggungjawab sila tampil ke muka pengadilan,” katanya pada ceramah Grand Finale di Bagan Pinang, di sini.

Terdahulu, Mohamed Azmin berkata, pembongkaran itu membabitkan saham FELDA Global Ventures (FGV) didagangkan pada harga RM4.55 sesaham kini tinggal RM1.30.

“Orang politik sudah menjual saham-saham mereka, yang sengsara adalah peneroka.

“Sebanyak 400,000 hektar ladang FELDA diletakkan dalam penyenaraian hingga FELDA hilang penguasaan dalam ladang-ladang. Ini termasuk pelaburan hartanah di Melaka, Sarawak dan London dengan belian berkali ganda,” katanya.

Pada masa sama, Azmin memberitahu, beliau sendiri akan turun padang bagi menerangkan kepada peneroka FELDA tentang apa yang sedang berlaku memandangkan masih ada peneroka yang tidak tahu perkara sebenar.

Azmin mengakui sedih dengan penyelewengan dalam institusi milik Melayu berkata, ia berlaku disebabkan masalah integriti dan tidak amanah.

Categories
NASIONAL

Isu tanah Felda: Hentikan segala ‘wayang’

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 DIS: Kerajaan diminta menghentikan segala ‘wayang’ dan mulakan siasatan berhubung isu hak milik empat bidang tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta.

Naib Presiden KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, beliau terpegun dengan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kononnya tiada sebarang kemungkinan berlakunya salah laku penyelewengan berkenaan isu terbabit.

“Kita ingin melihat Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyempurnakan siasatan dengan segera dan bagaimana peguam negara serius atau tegas mengambil tindakan terhadap kepimpinan lama Felda yang diterajui Tan Sri Isa Samad,” katanya.

Shamsul berkata, Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad juga tidak boleh membuat alasan bahawa beliau kononnya dulu tiada dalam Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) sekali gus beliau tidak tahu apa-apa berkenaan perkara itu.

“Saya pasti ramai terkejut dengan respon dikemukakan Shahrir bahawa isu ‘hilang’ tanah di Jalan Semarak itu dipindah milik tanpa pengetahuan Felda.

“Kita tahu Shahrir dilantik sebagai pengerusi Felda sejak awal 2017 dan mengapa isu jual beli tanah baru kini dibangkitkan, mengambil masa beratus hari baru sedar, hairan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sementara itu, mengulas berkenaan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di laman Twitter, beliau meminta supaya Felda mengambil tindakan sepatutnya bagi melindungi hak kepentingan Felda.

Shamsul berkata, beliau sendiri berasa janggal apabila Najib Razak sendiri seolah-olah prihatin dengan isu tanah Felda yang meminta supaya ia disiasat.

“Saya minta jaminan Najib secara terbuka bahawa beliau tidak akan sama sekali menggunakan kuasa politik untuk menghentikan pendakwaan terhadap mereka yang terbabit.

“Panggil dulu bekas pengerusi Felda, Isa Samad dan mereka yang dikatakan terbabit dalam isu ini, siasat, saya desak supaya semua pihak berlaku adil,” katanya.

Shamsul yang juga selaku Pengerusi Biro Felda Kebangsaan berkata, beliau yakin jika perkara ini berlaku di Kerajaan Selangor sudah pasti SPRM akan datang menyerang malah berkotak-kotak dokumen akan dibawa keluar kononnya untuk membuat siasatan secara teliti.

“Ini yang dikatakan layanan ‘double standard’ diberikan SPRM…Saya pasti rakyat tidak boleh terima kenyataan bahawa tiada unsur rasuah mahupun penyelewengan berkenaan isu jual beli tanah Felda.

“Rakyat terutamanya peneroka Felda sudah pasti mahu melihat mereka terbabit ini dibawa ke muka pengadilan.

“Pada masa sama inilah dikatakan apabila parti yang menerajui kerajaan tidak mengamalkan prinsip ketelusan, maka harta yang nilainya hampir berbillion ringgit boleh hilang dengan begitu mudah,” katanya.

Terdahulu, sumber mendedahkan Felda hilang hak milik tanah bernilai lebih RM200 juta di Jalan Semarak kini dimajukan dengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) dipercayai bertukar milik transaksi yang diragui sejak 2015.

MB : Belanjawan 2014: Lima teras jadi perbelanjaan terbesar untuk rakyat

Sinopsis

FOKUS Untuk 19112013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT . Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1.Belanjawan Selangor 2014 adalah kelangsungan untuk memacu negeri ke arah pembangunan berterusan dengan tema ‘Belanjawan Berhemat dan Berimpak Tinggi, Maslahat Rakyat’, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

2.Selangor membelanjakan RM101,166,500 kepada 41,945 penerima manfaat Skim Mesra Usia Emas (SMUE) sehingga 31 Ogos lalu.

3. Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melancarkan koleksi Khutbah Pilihan, Himpunan Doa Rasmi dan Himpunan Doa Harian terbitan Jabatan Mufti Negeri Selangor di Istana Alam Shah Klang, di sini, hari ini.

4. Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menafikan pembubaran cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pandan seperti yang didakwa Pengerusi Umno Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar baru-baru ini.

5. Tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk melaksanakan had jangka hayat kereta kepada 12 tahun akan memangsakan beratus ribu rakyat yang kebanyakannya daripada golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

6. Mahkamah Tinggi menetapkan prosiding mendengar saman fitnah RM200 juta yang difailkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan tiga yang lain, bermula 29 Januari 2014.

7. Penantian selama 10 tahun seramai 160 pembeli rumah projek perumahan pangsapuri Andorra di Taman Sri Muda di sini untuk memiliki rumah sendiri berakhir.

8.Tindakan kerajaan pusat menswastakan syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) mengancam kitaran sumber makanan utama negara dan menyebabkan harga beras pada kawalan syarikat yang memonopoli komoditi itu.

9. Kehadiran 12 pelajar dari Universitas Narotama, Surabaya, Indonesia ke Universiti Selangor (UNISEL) dilihat mampu memperkukuhkan lagi hubungan dua hala dan kerjasama dua institusi pengajian tinggi berprestij itu.