Categories
SELANGOR

Selangor hargai 10 anggota PANTAS MDKL

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BANTING, 15 DIS: Seramai 10 anggota Skuad Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) terima anugerah daripada Kerajaan Negeri.

Penganurerahan itu diberikan atas komitmen mereka menjayakan Misi Selangor Prihatin bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ke Pulau Pinang, pada 6 hingga 12 November lalu.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, pengiktirafan itu memberikan makna yang cukup mendalam bagi pasukan terlibat dalam misi berkebajikan itu.

“Skuad PANTAS MDKL diketuai Penyelaras Skuad, Miskon Karim dengan disertai 10 anggota yang mempunyai kepakaran bidang masing-masing seperti pokok tumbang, menyelamat serta memindah mangsa banjir dan kebakaran tanah gambut.

“Bagi memudahkan serta melancarkan perjalanan misi tersebut, Skuad PANTAS MDKL diberikan taklimat dan juga digabungkan bersama Majlis Daerah Hulu Selangor dengan tugasan memotong dan mengalihkan pokok tumbang yang menghalang laluan di kawasan yang terlibat dengan bencana banjir,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pasukan terlibat komited membantu mangsa banjir terutamanya di kawasan Seberang Prai Utara, Seberang Prai Tengah dan juga Seberang Prai Selatan.

Kesemua mereka menerima anugerah khas yang disampaikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada Malam Apresiasi Hasil dan Belanjawan Negeri Selangor, baru-baru ini.

Terdahulu, atas dasar keprihatinan, beberapa pimpinan tertinggi Kerajaan Negeri Selangor dan PBT tempatan turun padang terlibat sama dalam Misi Kemanusiaan Kerajaan Selangor ke Pulau Pinang, bagi membantu mangsa banjir negeri itu, November lalu.

Misi berkenaan diketuai Dato’ Menteri Besar bersama delegasi badan bukan kerajaan negeri.

Dalam perkembangan itu, RM1 juta suntikan dana disalurkan Kerajaan Negeri Selangor kepada Kerajaan Pulau Pinang, bagi membantu negeri itu menangani masalah banjir.