Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri rakam ucapan takziah pemergian OBD Hulu Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

HULU SELANGOR, 12 DIS: Kerajaan Negeri mengucapkan salam takziah buat keluarga Allahyarham Orang Besar Daerah (OBD) Hulu Selangor YAD Dato’ Aman Shah Mohd Shahar, 72, yang meninggal dunia lewat petang semalam.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turut meluangkan masa memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang tiba di Masjid Jame’ Al-Khalidiah, Kampung Melayu Rasa sekitar jam 10.25 malam dari Hospital Selayang.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham yang telah kembali ke Rahmatullah lewat petang (semalam) dan mendoakan keluarga supaya tabah. Semoga roh Allahyarham ditempatkan di syurga yang penuh dengan nikmat dari Allah SWT.

“Semasa hayatnya beliau telah memberikan sumbangan besar mewakili DYMM Tuanku Sultan di Daerah Hulu Selangor dan beliau cukup dekat dengan masyarakat di sini.

“Pemergiannya sangat di rasakan khususnya rakyat di Hulu Selangor namun kita perlu redha dan doakan yang terbaik untuk Allahyarham,” katanya.

Mohamed Azmin berkata beliau sering bertemu dengan Allahyarham dalam lawatan kerja di Daerah Hulu Selangor dan membantu menjayakan beberapa program Kerajaan Negeri

Allahyarham Aman Shah yang meninggal dunia akibat penyakit kanser selain sesak nafas meninggalkan seorang isteri Datin Rahimah Pateh Akhir dan lima orang anak difahamkan sudah berkhidmat selaku OBD Hulu Selangor lebih 10 tahun.

Jenazah yang disembahyangkan hampir 200 jemaah kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rasa Tambahan.

=EZY=