Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Kluster Pangsapuri Cheras mungkin ziarah Aidilfitri – KKM

PUTRAJAYA, 2 JUN: Punca penularan kluster baharu Covid-19, kluster Pangsapuri Cheras berkemungkinan besar berkaitan dengan aktiviti kunjung mengunjung sebelum dan semasa Aidilfitri.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata punca sebenar penularan kluster itu masih disiasat.

Memperincikan kluster itu, beliau menjelaskan kes pertama kluster itu dikesan hasil saringan pelajar pusat tahfiz yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Bagaimanapun melalui penyiasatan yang dijalankan, tiada pelajar, guru atau kakitangan dari pusat tahfiz tersebut mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan (tabligh) di Seri Petaling.

“Sehingga kini terdapat enam kes bagi kluster ini iaitu tiga kes merupakan penghuni pangsapuri tersebut dan tiga di luar kawasan pangsapuri,” katanya dalam sidang media harian perkembangan Covid-19 di sini, hari ini.

Semalam, KKM menerusi Twitter memaklumkan penemuan kluster baharu itu.

Dr Noor Hisham berkata semua pesakit itu dikesan melalui tindakan pengesanan kes secara aktif dan semua kes positif kluster itu merupakan ahli keluarga dan rakan kepada kes pertama yang dikesan.

“Setakat ini, seramai 120 orang telah dikenal pasti dan disaring, dengan enam kes positif Covid-19, 76 kes negatif Covid-19; dan 38 masih menunggu keputusan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata selain tindakan pengesanan kes secara aktif, beberapa langkah kawalan penularan wabak di pangsapuri itu turut giat dijalankan seperti pengasingan kontak dan aktiviti persampelan, aktiviti nyahkuman dan nyahcemar serta hebahan pendidikan kesihatan berkaitan pencegahan jangkitan Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKPB: Lebih baik waspada walau ziarah raya dibenarkan

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Orang ramai dinasihat mengambil langkah berwaspada dalam sebarang urusan yang ingin dilakukan semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri hujung minggu ini, walaupun ada perkara yang mendapat kebenaran pihak berwajib.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata dalam situasi negara yang sedang berdepan dengan pandemik Covid-19 ini, lebih wajar jika orang ramai berhati-hati (elak) agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

“Contohnya, soal ziarah kubur pada hari raya. Perkara itu (ziarah kubur) tidak menjadi masalah jika orang ramai patuh SOP (Tatacara Operasi Piawai), dari segi penjarakan dengan bilangan yang tidak ramai. Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri juga ada jelaskan, ianya boleh, cuma tidak digalakkan.

“Namun ia terpulang kepada arahan dikeluarkan oleh negeri masing-masing kerana jika arahan ziarah kubur itu tidak dibenarkan (di sesetengah negeri) ia dibuat dengan matlamat untuk menghindari jangkitan wabak Covid-19,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan mengenai kewajaran aktiviti ziarah hari raya serta melawat kubur ketika negara berdepan Covid-19, ketika ditemui selepas majlis sumbangan barangan keperluan asas untuk ‘JAWI Food Bank’ yang disampaikan Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian di Kompleks Pusat Islam di sini.

Mengulas lanjut Dr Zulkifli berkata, jika terdapat perkara yang di antara keduanya iaitu ‘larangan dan kebenaran’ masyarakat diseru untuk memilih bersikap waspada sebagai langkah berjaga-jaga.

“Sama juga dengan aktiviti berziarah mengunjungi saudara terdekat pada hari raya, walaupun ada SOP dengan jumlah ditetapkan, namun bagi mengelakkan isu-isu (lain) timbul lebih baik duduk di rumah sahaja,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ziarah Aidilfitri cuma raya pertama, had maksimum 20

SHAH ALAM, 13 MEI: Aktiviti ziarah Aidilfitri hanya dibenarkan pada Hari Raya pertama membabitkan ahli keluarga terdekat sahaja, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut memutuskan ziarah Aidilfitri pada hari berikutnya sepanjang Syawal tidak dibenarkan.

“Ziarah hanya pada raya pertama, tidak ada raya kedua, ketiga dan seterusnya. Rumah terbuka juga dilarang mengikut peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya di Putrajaya hari ini.

Mengenai keputusan kerajaan membenarkan aktiviti ziarah keluarga dalam negeri sama dengan had maksimum 20 orang, Ismail Sabri berkata jumlah itu perlu mengambil kira saiz sesebuah rumah.

“Katakan flat berukuran 600 kaki persegi, 20 satu masa mungkin terlalu ramai dan tak boleh berlaku penjarakan sosial, jadi lima orang saja (satu masa) tetapi maksimum tetap 20 orang sehari.

“Sebenarnya walaupun (pergerakan) sudah dilonggarkan, tujuan kita memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah PKPB supaya orang ramai berada di rumah dan mengelak bertemu ramai orang.

“Boleh berhari raya, tetapi kalau boleh ambil inisiatif sendiri untuk elak (bertemu ramai orang),” katanya.

Beliau berkata tatacara operasi piawai (SOP) hari perayaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) itu turut merangkumi Pesta Kaamatan di Sabah dan Hari Gawai di Sarawak.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri rakam ucapan takziah pemergian OBD Hulu Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

HULU SELANGOR, 12 DIS: Kerajaan Negeri mengucapkan salam takziah buat keluarga Allahyarham Orang Besar Daerah (OBD) Hulu Selangor YAD Dato’ Aman Shah Mohd Shahar, 72, yang meninggal dunia lewat petang semalam.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turut meluangkan masa memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang tiba di Masjid Jame’ Al-Khalidiah, Kampung Melayu Rasa sekitar jam 10.25 malam dari Hospital Selayang.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham yang telah kembali ke Rahmatullah lewat petang (semalam) dan mendoakan keluarga supaya tabah. Semoga roh Allahyarham ditempatkan di syurga yang penuh dengan nikmat dari Allah SWT.

“Semasa hayatnya beliau telah memberikan sumbangan besar mewakili DYMM Tuanku Sultan di Daerah Hulu Selangor dan beliau cukup dekat dengan masyarakat di sini.

“Pemergiannya sangat di rasakan khususnya rakyat di Hulu Selangor namun kita perlu redha dan doakan yang terbaik untuk Allahyarham,” katanya.

Mohamed Azmin berkata beliau sering bertemu dengan Allahyarham dalam lawatan kerja di Daerah Hulu Selangor dan membantu menjayakan beberapa program Kerajaan Negeri

Allahyarham Aman Shah yang meninggal dunia akibat penyakit kanser selain sesak nafas meninggalkan seorang isteri Datin Rahimah Pateh Akhir dan lima orang anak difahamkan sudah berkhidmat selaku OBD Hulu Selangor lebih 10 tahun.

Jenazah yang disembahyangkan hampir 200 jemaah kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rasa Tambahan.

=EZY=