Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Khairuddin: Rekod pentadbiran Azmin melayakkan duduki kerusi PM

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 9 DIS: Rekod prestasi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menerajui pentadbiran Selangor bukti kemampuan beliau sekiranya berpeluang menerajui Putrajaya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman, berkata selain berusaha memulihkan ekonomi negara, beliau juga percaya rakyat negara ini bakal memperolehi pelbagai manfaat seperti diperolehi rakyat negeri termaju itu.

“Walaupun belanjawan Selangor tidak sebesar Persekutuan tetapi mampu memberi pelbagai faedah lebih baik kepada rakyat Selangor.

“Maka memang wajar beliau layak menduduki kerusi Perdana Menteri nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Jelajah Peduli Rakyat Dan Kenduri Rakyat di Masjid Jamiul Ehsan di Kampung Kubu Gajah, di sini, hari ini.

Jelasnya, pengalaman dan kegigihan Mohamed Azmin menerajui pentadbiran Kerajaan Selangor merupakan aset terbaik untuk dibawa ke Putrajaya.

Katanya, beliau yakin pelbagai dasar peduli rakyat khususnya program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang telah dilaksanakan di Selangor mampu diterapkan dalam pentadbiran di Putrajaya untuk dinikmati rakyat seluruh negara.

=EZY=