Categories
SELANGOR

Lebih 10,000 meriahkan Selangor Job Fair 2017

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 31 DIS: Lebih 10,000 pengunjung dianggarkan hadir dan memeriahkan Program Selangor Job Fair 2017 yang diadakan di Dataran Kemerdekaan, di sini hari ini.

Penolong Setiausaha Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor, Nur Syahirah Sarwan berkata, program siri ketiga itu adalah anjuran Jawatan Kuasa Tetap Pendidikan Pembangunan Modal Insan, Sains Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama Job Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor.

“Program ini disertai 26 syarikat swasta dan agensi kerajaan di sekitar Selangor dengan menawarkan lebih 3,000 peluang pekerjaan.

“Program sebegini diadakan bertujuan menyediakan peluang kerjaya kepada rakyat sama ada graduan lepasan belajar mahupun mereka yang berhasrat mempertingkatkan kerjaya sedia ada,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Nur Syahirah berkata, antara peluang kerjaya ditawarkan adalah bidang kejuruteraan, kesihatan, perkhidmatan, pemakanan, peruncitan dan automotif.

“Bagusnya program sebegini dilaksanakan kerana pengunjung dapat berpeluang ditemuduga secara terus oleh syarikat yang terlibat pada hari ini.

“Manakala, peruntukan keseluruhan Job Fair siri ketiga ini menelan belanja sebanyak RM300,000,” katanya.

Katanya, Kerajaan Negeri begitu komited dalam membantu golongan belia khususnya untuk membolehkan setiap rakyat memperolehi kerjaya stabil.

=EZY=