Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor Job Fair bermula hujung September, disertai 50 syarikat

BESTARI JAYA, 18 SEPT: Program Selangor Job Fair berskala kecil dijangka bermula hujung bulan ini dengan tumpuan di lima daerah, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata program secara hibrid di Petaling, Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak dan Sepang bakal disertai 50 syarikat yang menawarkan pekerjaan dalam pelbagai sektor.

“Sebenarnya kita sudah ada perancangan untuk turun (ke daerah) tetapi tersekat kerana Perintah Kawalan Pergerakan. Insya-Allah bulan ini kita akan segerakan dalam skala kecil mengikut syarat ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

“Apapun, dalam tahun ini kita akan selesaikan sekurang-kurangnya lima siri jelajah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Tasik The Tomanz Tangkap dan Lepas di Universiti Selangor (Unisel) kampus Bestari Jaya di sini hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri tekad memastikan kadar pengangguran di Selangor turun bawah empat peratus berbanding ketika ini yang mencatat 4.5 peratus ekoran pandemik.

“Kita tidak akan berdiam diri dan terus berusaha membantu bagi mencapai sasaran tersebut,” katanya.

23 Ogos lalu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya Kerajaan Negeri memandang serius isu kehilangan pekerjaan.

Untuk rekod, penganjuran Selangor Job Fair dua tahun lalu menerima penyertaan 200 syarikat dengan menawarkan 11,000 peluang pekerjaan termasuk 20 kepada orang kelainan upaya (OKU).

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Negeri anjur semula Selangor Job Fair, bantu belia cari kerja

SHAH ALAM, 16 SEPT: Program Selangor Job Fair akan diadakan semula dalam tempoh terdekat bagi mengatasi masalah pengangguran terutama belia negeri ini.

EXCO pembangunan generasi muda berkata tatacara operasi piawai (SOP) sedang diperinci selain tertakluk kebenaran bagi negeri fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Sekiranya tidak boleh dalam tempoh ini, kita akan laksanakan selepas Selangor beralih ke fasa tiga PPN nanti,” kata Mohd Khairuddin Othman ketika dihubungi.

Beliau berkata sebanyak 4.5 peratus atau 100,000 penduduk Selangor tidak bekerja ketika ini, dengan 70,000 daripadanya membabitkan belia.

Jelasnya, pelbagai usaha dibuat bagi mengatasi masalah itu termasuk memperkenal Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) yang menerima lebih 8,000 permohonan tahun ini.

Selangor Job Fair yang dianjurkan dua tahun lalu menawarkan 11,000 peluang pekerjaan termasuk kepada orang kelainan upaya melalui penyertaan 200 syarikat. Program itu ditangguhkan tahun lalu berikutan kenaikan mendadak kes Covid-19.

Sebanyak 15,000 peluang pekerjaan diwujudkan tahun ini bagi menangani pengangguran melalui program Selangor Kerjaya, Jom Kerja, Selangor Automotif TVET dan Selangor Freelancers.

Belanjawan Selangor 2021 turut memperuntuk RM76 juta bagi membantu penduduk negeri yang hilang pekerjaan melalui beberapa inisiatif susulan penularan Covid-19.

Categories
SELANGOR

Lebih 10,000 meriahkan Selangor Job Fair 2017

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 31 DIS: Lebih 10,000 pengunjung dianggarkan hadir dan memeriahkan Program Selangor Job Fair 2017 yang diadakan di Dataran Kemerdekaan, di sini hari ini.

Penolong Setiausaha Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor, Nur Syahirah Sarwan berkata, program siri ketiga itu adalah anjuran Jawatan Kuasa Tetap Pendidikan Pembangunan Modal Insan, Sains Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama Job Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor.

“Program ini disertai 26 syarikat swasta dan agensi kerajaan di sekitar Selangor dengan menawarkan lebih 3,000 peluang pekerjaan.

“Program sebegini diadakan bertujuan menyediakan peluang kerjaya kepada rakyat sama ada graduan lepasan belajar mahupun mereka yang berhasrat mempertingkatkan kerjaya sedia ada,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Nur Syahirah berkata, antara peluang kerjaya ditawarkan adalah bidang kejuruteraan, kesihatan, perkhidmatan, pemakanan, peruncitan dan automotif.

“Bagusnya program sebegini dilaksanakan kerana pengunjung dapat berpeluang ditemuduga secara terus oleh syarikat yang terlibat pada hari ini.

“Manakala, peruntukan keseluruhan Job Fair siri ketiga ini menelan belanja sebanyak RM300,000,” katanya.

Katanya, Kerajaan Negeri begitu komited dalam membantu golongan belia khususnya untuk membolehkan setiap rakyat memperolehi kerjaya stabil.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Lebih 10,000 kunjungi Selangor Job Fair 2016

OLEH : SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 31 MEI: lebih 10,000 pengunjung hadir merebut peluang kerjaya di Selangor Job Fair 2016 anjuran Jawatankuasa Tetap Pembangunan Modal Insan Kerajaan Negeri Selangor di IDCC Shah Alam pada 28 Mei lalu.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata program itu disertai 64 syarikat di Selangor dan enam agensi kerajaan dengan menawarkan lebih 5,000 peluang pekerjaan.

Job FairKatanya, program diadakan buat ulung kali itu bermatlamat menyediakan peluang kerjaya kepada rakyat sama ada graduan baru mahupun mereka yang berhasrat mempertingkatkan kerjaya sedia ada.

“Selangor Job Fair ini menemukan syarikat dengan tenaga kerja secara terus.

“Sambutan juga amatlah menggalakkan, apabila kita dapat melihat keperluan masyarakat masa kini yang masih mencari pekerjaan meningkatkan ekonomi kehidupan.

“Kerajaan Negeri sentiasa cuba yang terbaik untuk membolehkan rakyat negeri ini memperoleh kerjaya yang stabil,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya lagi, selain memberi peluang kerja, program itu juga membantu memenuhi keperluan tenaga buruh industri Selangor, akhirnya membantu menyumbang kepada pembangunan negeri.

Program itu membuka pelbagai peluang pekerjaan antaranya dalam industri kejuruteraan, pemakanan, kesihatan, peruncitan, perkhidmatan, automotif dan pelbagai lagi.

EZY