Categories
NASIONAL

Mangsa banjir di Sabah meningkat

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 14 DIS: Mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 1,685 daripada 719 keluarga sehingga jam 8 pagi ini berbanding 1,613 daripada 692 keluarga, malam tadi.

Kesemua mangsa berada di enam pusat pemindahan banjir daerah Kota Belud dan daerah Kecil Membakut.

Maklumat daripada Sekretariat Pengurusan Bencana Sabah mendapati lima pusat pemindahan dibuka di daerah Kota Belud iaitu 540 (225 keluarga) ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi 2, manakala 441 (227 keluarga) di Dewan Masyarakat Tun Said.

“Seramai 309 (90 keluarga) lagi ditempatkan di Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan dan 179 orang (77 keluarga) di Dewan SMK Agama Tun Said,” kata sekretariat itu.

Menerusi kenyataan itu, pusat pemindahan banjir di Kompleks Sukan Botung menempatkan 134 mangsa daripada 69 keluarga.

Sementara itu, di daerah Kecil Membakut, dalam kawasan Parlimen Kimanis, pusat pemindahan banjir di Dewan Serbaguna Membakut kini menempatkan 83 mangsa daripada 31 keluarga.

Pusat pemindahan berkenaan dibuka malam tadi bagi menggantikan pusat pemindahan Dewan Mini Puspanita yang tutup kerana tidak dapat menampung jumlah mangsa bertambah.

-Bernama-