Categories
SELANGOR

PJ Rangers optimis ulangi kejayaan MPPJ FC

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 14 DIS: Kelab Bola Sepak Petaling Jaya Rangers (PJ Rangers) berpotensi mengulangi kecermelangan Kelab Bola Sepak MPPJ Selangor (MPPJ FC) yang pernah menjulang Piala Malaysia, pada 2003.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, kejayaan itu mampu diraih menerusi komitmen jangka panjang yang giat dilaksanakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Katanya, ia termasuklah kerjasama dengan syarikat swasta, Air Asia Berhad dan pelan pembangunan sukan bola sepak komuniti MBPJ.

“Kita doakan pasukan ini berjaya dalam liga bola sepak Malaysia seperti yang pernah diraih MPPJ FC dulu.

“Bagi memastikan misi berkenaan dicapai, MBPJ dan Air Asia akan menganjurkan pelbagai program dan pertandingan liga bola sepak Piala Datuk Bandar bawah 16 tahun bagi mencungkil bakat muda untuk diserap bersama Kelab PJ Rangers FC.

“Kita mengharap komitmen ini akan membuahkan hasil sekali gus dapat merealisasikan hasrat kita menjadikan PJ Rangers sebagai pasukan terbaik dalam sukan bola sepak tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama Air Asia di Ibu Pejabat MBPJ, pagi ini.

MoU berkenaan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Dr Tony Fernandes dan MBPJ, diwakili Mohd Azizi.

Kerjasama itu bakal menyaksikan peruntukan RM5 juta disalurkan Air Asia bagi proses pembaikan fasiliti stadium, penjenamaan PJ Rangers dan program pembangunan setempat membabitkan kedua-dua pihak.

Terdahulu, MBPJ pernah melahirkan pasukan bola sepak terbaik, MPPJ FC yang pernah berjaya menjulang Piala Malaysia, pada 2003.

‘Gergasi Biru Selangor’ itu juga pernah beraksi di Liga Super selepas melepasi aksi perlawanan akhir apabila menang jaringan 1-0 dengan Sabah.

Prestasi kelab itu menurun selepas perpindahan tonggak utama pasukan, Juan Manuel Arostegui dan jurulatih, Dollah Salleh ke Selangor.

Pasukan itu juga terpaksa menarik diri selepas gagal menghantar penyertaan pasukan mereka untuk bertanding dalam Liga Malaysia musim 2007.