Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB salur bantuan surau RM100,000, fokus pembangunan ummah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 10 DIS : Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyampaikan bantuan kewangan sebanyak RM100,000 kepada Surau Platinum Al Mawaddah, Seksyen 7.

Peruntukan disalurkan selepas mengambil kira keperluan pembaikan pusat rumah ibadat berkenaan yang menjadi tumpuan aktitiviti keagamaan penduduk berdekatan.

Mohamed Azmin berkata, sumbangan juga diberikan sebagai bukti komitmen pentadbiran Kerajaan Negeri untuk menggalakan rumah ibadat masyarakat Islam seluruh Selangor berfungsi secara berkesan.

“Ia selari dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk membangunkan pembangunan ummah dengan sasaran bahawa institusi Islam di Selangor dapat ditingkatkan.

“Atas kapasiti itulah Kerajaan Negeri sebelum ini mengumumkan peruntukan RM300 juta kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk bangunkan institusi masjid dan surau secara komprehansif,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Program Gerakan Subuh yang turut dihadiri Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noordin Sulaiman, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Yaakob Sapari bersama lebih 200 jemaah.

Surau Al-Mawaddah mula beroperasi sejak 2008 dengan proses pembaikan fasa pertama berjaya disiapkan pada Jun lalu dengan nilai pembangunan sebanyak RM4 juta.

Untuk rekod, surau berkenaan mampu memuatkan lebih 1,000 jemaah dengan proses fasa kedua pembaikan akan dibina beberapa kelas agama.

=EZY=