Categories
SELANGOR

MBPJ-AirAsia meterai MoU, tingkat pembangunan bola sepak

 

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 14 DIS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPBJ) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Air Asia Berhad bagi projek penjenamaan baru, Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Datuk Bandar MBPJ, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, pemeteraian itu bakal menyerlahkan bandar raya itu sebagai pusat tumpuan pembangunan sukan bola sepak terulung negeri.

“Usahasama ini diharap dapat digerakkan secara menyeluruh menerusi pembabitan komuniti di bandaraya MBPJ untuk mengangkat kembali perkembangan industri bola sepak MBPJ.

“Sebagaimana kita maklum, MBPJ sebelum ini pernah memiliki pasukan bola sepak terbaik yang pernah menyinar dalam sukan ini suatu ketika dulu.

“Justeru kita mengharapkan kerjasama ini membolehkan, kelab bola sepak Petaling Jaya Rangers (PJ Rangers) berperanan menyambung legasi pencapaian terbaik itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perjanjian Persefahaman bersama Air Asia di Ibu Pejabat MBPJ, pagi ini.

Terdahulu, MoU ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Dr Tony Fernandes dan MBPJ, diwakili Mohd Azizi.

Kerjasama itu bakal menyaksikan peruntukan RM5 juta disalurkan Air Asia bagi proses pembaikan fasiliti stadium, penjenamaan PJ Rangers dan program pembangunan setempat membabitkan kedua-dua pihak.

Sementara itu, Tony Fernandes berkata, pemilihan MBPJ dibuat selaras keperluan tanggungjawab sosial syarikat itu untuk mengangkat martabat sukan di negara ini.

“Pembangunan sukan bermula di peringkat komuniti dan sekiranya keperluan itu dilaksanakan, kami percaya teras pembangunan sukan ini dapat dikembangkan,” katanya.