Categories
SELANGOR

Tingkat keselamatan, Persiaran Puchong Jaya Selatan dinaik taraf

 

OLEH SHEEDA FATHIL

KINRARA, 14 DIS : Sistem trafik dan lalu lintas di sepanjang Jalan Persiaran Puchong Jaya Selatan, dinaik taraf bagi memastikan keselamatan pengguna lebih terjamin.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han berkata, inisiatif itu diambil bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya sekali gus mengelakkan berlakunya kemalangan.

“Kebanyakan jalan di sini mempunyai simpang empat dan tiada lampu isyarat jadi ia agak merbahaya kepada pengguna jalanraya.

“Kaedah terbaik bagi mengurangkan masalah berkenaan, sistem ‘intelligent traffic light’ diwujudkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan ke tapak projek naik taraf sistem trafik dan lalu lintas di Persiaran Puchong Jaya Selatan, di sini, hari ini.

Sze Han berkata, hampir semua jalan di sini berbukit-bukau dan agak berbahaya apabila berlakunya hujan lebat.

“Kawasan sini sering mengalami kemalangan dan kesesakan jalanraya walaupun bukan pada waktu puncak,” katanya.

Katanya, peruntukan bagi menaik taraf jalan raya berkenaan adalah sepenuhnya daripada pemaju, IOI Properties Group Berhad dengan kerjasama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) membabitkan kos RM650,000.