Categories
PBT SELANGOR

MBSA anjur seminar cegah denggi di tapak pembinaan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 4 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan Seminar Pengawalan Nyamuk di Tapak Pembinaan 2017 membabitkan 100 pemaju dan kontraktor, di kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, inisiatif itu bagi memberi pendedahan kepada pemaju dan kontraktor berkaitan amalan pengawalan dan pencegahan demam denggi, di kawasan tapak bina.

Katanya, komitmen itu juga dilaksanakan bagi memupuk amalan kepentingan penjagaan kebersihan di kawasan tapak pembinaan yang berpotensi menjadi habitat Aedes.

“Pelaksanaan Seminar Pengawalan Nyamuk di Tapak Binaan ini diharap memberi ruang dan peluang kepada peserta untuk berkongsi pengalaman.

“Penganjurannya juga dilaksanakan bagi bertukar pandangan dan idea untuk mengatasi penularan demam denggi yang semakin meluas di kawasan pentadbiran MBSA,” katanya dalam kenyataan.

Program turut diisi dengan taklimat antaranya ‘Pengenalan Demam Denggi’ oleh wakil Pejabat Kesihatan Daerah Petaling, ‘Tindakan Undang-Undang dan Pendakwaan’ oleh wakil Unit Pendakwaan dan Perundangan, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) .

Selain itu, seminar bertajuk ‘Tanggungjawab Pihak Pemaju, Kontraktor Di Dalam Mencegah dan Mengawal’ Demam Denggi turut diadakan wakil Jabatan Kesihatan Persekitaran MBSA.

Pada masa sama, Shahrin berkata, sebanyak 5416 kes demam denggi dilaporkan di kawasan pentadbiran MBSA.

“MBSA sudah mengadakan aktiviti pemeriksaan terhadap 15,638 premis termasuk rumah kediaman, rumah kedai dan restoran, aktiviti semburan atau ‘fogging’ di 583,611 premis dan mengeluarkan 451 kompaun atas kesalahan membiak jentik-jentik Aedes.

“Selain itu, MBSA juga melaksanakan aktiviti pendidikan dengan mengedarkan 74,257 risalah dan 4,836 poster berkenaan demam denggi.

“MBSA amat komited menangani masalah demam denggi di pentadbiran MBSA dan pada masa sama menyeru warga Shah Alam untuk memastikan keadaan persekitaran di kediaman masing-masing berada dalam keadaan bersih dan bebas daripada pembiakan jentik-jentik,” katanya.