Categories
NASIONAL

Papagomo selesaikan hutang hampir RM1 juta kepada Anwar

SHAH ALAM, 4 DIS: Blogger kontroversi Papagomo berjaya melunaskan ganti rugi RM951,260.30 kepada Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas kalah dalam saman fitnah terhadap Anwar, tiga tahun lalu.

Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri menjelaskan RM950,000 dalam bentuk draf, manakala RM1,260 dibayar secara tunai dengan not RM1 dan syiling 30 sen diwakili Peguamnya, Irna Shahana Samsudin.

Wang itu diserahkan kepada Anwar melalui peguam Latheefa Koya pada prosiding pendengaran petisyen kebankrapan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Husna Dzulkifli, hari ini.

Irna berkata, mahkamah menetapkan pengurusan kes bagi pihak Anwar untuk menarik balik petisyen kebankrapan terhadap Wan Muhammad Azri, esok.

Prosiding di dalam kamar itu dihadiri Wan Muhammad Azri dan peguam Latheefa Koya serta J. Leela mewakili Anwar.

Terdahulu, Anwar memfailkan petisyen kebankrapan terhadap Wan Muhammad Azri, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarang KL Pos Media Production Sdn Bhd ekoran kegagalannya membayar ganti rugi terbabit kepada bekas ketua pembangkang itu.

Pada 28 Februari 2014, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar ganti rugi RM800,000 dan kos guaman RM50,000 kepada plaintif berhubung penyiaran perkataan fitnah dan meletak imej mengaitkan Anwar dalam video seks di blog Papa Gomo.

Pada 26 Julai 2016, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Wan Muhammad Azri bagi mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi kepada Anwar, manakala Mahkamah Rayuan pada 4 Disember 2015 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Anwar memfailkan saman pada 21 Mac 2013 bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta kerana mendakwa Wan Muhammad Azri menyiarkan artikel yang mengandungi perkataan fitnah di laman blog www.papagomo.com secara berturut-turut antara 16 dan 20 Mac 2013.