Categories
SELANGOR

MBSA tutup jalan sempena Gempak Selangor, ambang Tahun Baru 2018

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 25 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menutup sebahagian jalan bermula 26 Disember (Selasa) hingga 1 Januari 2018 bagi melancarkan penganjuran Program Kesedaran dan Pencegahan Gejala Sosial – Generasi Berimpak (Gempak Selangor).

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, ia berikutan kerja-kerja persiapan dan semasa acara tersebut berlangsung, yang juga bersempena Sambutan Ambang Tahun Baru 2018 pada 30 hingga 31 Disember ini (Sabtu dan Ahad).

“Jalan yang akan ditutup adalah Persiaran Bandar Raya (Dataran Kemerdekaan)

“Sehubungan itu, pihak Majlis menyeru orang ramai tidak menggunakan jalan yang dinyatakan pada tempoh tersebut bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Pengguna jalan raya diminta memberikan kerjasama dan menggunakan jalan alternatif untuk menuju ke destinasi yang hendak dituju,” katanya.

Pada masa sama, pengguna dinasihatkan agar sentiasa mematuhi arahan yang diberikan pihak MBSA dari masa ke semasa.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA di talian 03-5522 2734.