Categories
BERITA UTAMA KENYATAAN MEDIA SELANGOR

Membingkai Muafakat Demi Kemenangan Rakyat

OLEH: DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Dalam tempoh beberapa jam akan datang, tirai 2017 akan turun dan kita akan memasuki tahun baru 2018 yang mencabar demi masa depan rakyat dan negara Malaysia.

Di ambang fajar 2018 saya bersyukur, Negeri Selangor terus istiqamah dalam mencerakinkan keutamaan demi membela nasib dan menjamin kualiti hidup rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Kita berlumba-lumba melakukan kebaikan – fastabiqul khairat melalui gagasan membangun bangsa dan memakmur negeri.

Hasilnya, rakyat semakin sejahtera dan bahagia.

Dalam tahun 2018 saya mahu kesejahteraan dan kemakmuran dikecapi oleh rakyat seluruh negara.
Negara harus dikemudi dengan bijaksana, bertanggung jawab, telus dan demokratik.

Kekayaan negara harus diurus dengan telus dan bertanggungjawab, masalah dan keluhan rakyat harus disantuni dengan pembelaan yang adil dan saksama.

Justeru, tahun 2018 adalah tahun harapan untuk kita mendakap kesejahteraan, kebahagiaan dan kesentosaan buat diri, keluarga, masyarakat dan rakyat keseluruhannya.

Marilah kita membingkai satu muafakat yang utuh dan progresif untuk merealisasikan 2018 sebagai tahun kemenangan rakyat.

Moga tahun 2018 akan membawa sinar harapan buat negara dan rakyat semuanya.

Selamat Tahun Baru 2018.