Categories
SAINS & INOVASI

Menunggu kemunculan meteor Geminid!

Meteor Geminid kembali lagi menjelang Subuh, 14 Disember 2017. Prospek kali ini amat baik kerana tiada cahaya bulan yang akan mengganggu. Ia berlawanan dengan apa yang berlaku tahun lepas, di mana cahaya bulan purnama telah menenggelamkan sebahagian besar meteor-meteor ini.

 


Bilakah ia akan berlaku?

 

Meteor Geminid akan memuncak pada awal Subuh 14 Disember 2017 waktu Malaysia. Ia berdasarkan laporan rasmi daripada International Meteor Organisation (IMO) yang menyatakan kemuncak meteor ini akan berlaku pada 14 Disember jam 06:30 UT.

Berdasarkan maklumat tersebut, puncak juraian ini berlaku jam 2:30 PM waktu Malaysia. Disebabkan ketika itu siang di sini, maka waktu ‘paling hampir’ bagi kita di sini ialah menjelang Subuh 14 Disember 2017.

Jika kita khuatir awal pagi 14hb itu nanti hujan atau berawan, jangan risau. Meteor Geminids ini selalunya sudah boleh dilihat dengan beberapa hari sebelum tarikh puncaknya. 

Maknanya, kita sudah boleh lihat bilangan meteor yang agak banyak bermula waktu tengah malam ke Subuh 12hb dan 13hb.Selalunya, selepas daripada tarikh puncak 14hb, bilangannya akan jatuh mendadak selepas itu.


Bilangan meteor yang akan kelihatan.

 

Secara amnya, bilangan Zenithal Hourly Rate atau ZHR rasmi untuk Geminid ialah 120 meteor setiap jam.

Tetapi kena ingat, ini merujuk kepada bilangan yang dapat dilihat dari kawasan yang gelap, cuaca baik tiada berawan dan titik muncul meteor (atau dikenali sebagai radiant) ialah tegak di atas kepala.

Jika dari langit Malaysia, titik radiant Geminid hanya akan mencecah ketinggian maksimum 60 darjah. Maka, bilangan 120 mustahiluntuk dicapai.

Namun begitu, kita masih berpeluang melihat kemunculan meteor yang lebih banyak dari biasa, mungkin pada kadar 50-60 meteor setiap jam.

Jadi, jangan lepaskan peluang.


Waktu mencerap dan kawasan langit.

Buruj Gemini (di mana terletaknya titik muncul meteor-meteor Geminid) akan terbit sekitar jam 10 malam (11 malam di Sabah) pada 13 Disember 2017.

Menurut sebuah artikel di IMO, meteor-meteor yang muncul ketika ini sudah mula boleh dilihat walaupun bilangan masih sedikit. Disebabkan sudut geometri pergerakkannya yang masih landai, ia akan kelihatan lebih panjang dan bergerak agak perlahan. Meteor jenis ini dipanggil sebagai Earthgrazers.

Meteor Geminid yang muncul sebelum tengah malam, akan kelihatan lebih panjang dan bergerak lebih perlahan berbanding biasa. Jumlahnya pula sedikit sahaja.

Apabila selepas tengah malam, masuk tarikh 14hb, kedudukan buruj Gemini semakin tinggi di langit, dan bilangan meteor akan semakin bertambah banyak. Pada waktu ini, ia akan muncul laju dan pendek pergerakkannya.

Sekitar jam 3 pagi (4 pagi di Sabah), titik radiant Geminid ini akan berada pada kedudukan paling tinggi di sebelah langit utara.

Sekitar jam 3 pagi, bilangan meteor Geminid semakin banyak, dan ia kelihatan muncul dengan pantas dan pendek laluannya.

Bilangannya akan terus bertambah menjelang Subuh. Sebaik sahaja Subuh bermula,  ia akan kelihatan semakin berkurang disebabkan langit yang makin cerah menjelang terbitnya matahari.

Meteor Geminid ini akan kelihatan muncul dari arah buruj Gemini, tetapi kita jangan fokus kepada kawasan buruj ini sahaja. Ia sebenarnya akan muncul di mana-mana.

Anda hanya perlu tumpukan pemerhatian di kawasan langit yang paling gelap dan jauh daripada silau atau gangguan cahaya. Kawasan pantai mengadap laut lebih baik kerana kurang lampu di sana.

Cuba cerap dari kawasan yang luas pemandangannya, iaitu tidak ada banyak halangan fizikal lain seperti bangunan, pokok atau bukit.

Jika anda mencerap dari kawasan bandar, jangan terlalu berharap dapat lihat meteor yang banyak. Gangguan cahaya yang teruk dari kawasan ini akan menyukarkan kita melihatnya. Mungkin akan nampak sebutir dua yang terang sahaja tetapi kita akan terlepas pandang meteor-meteor yang kecil dan kelam.

Rujuk artikel FalakOnline ini mengenai cara untuk mencerap dan merakam meteor-meteor di langit.


Asal usul meteor Geminid

Meteor Geminid ialah habuk dan debu peninggalan daripada sebuah asteroid bernama 3200 Phaethon. Dipercayai pada suatu ketika dahulu, asteroid ini mengalami suatu perlanggaran yang kuat dan menyebabkan sebahagian daripada permukaannya hancur dan menjadi serpihan debu dan habuk yang bergerak di sepanjang laluan orbitnya.

Setiap kali bulan Disember, orbit Bumi akan membawa kita masuk ke dalam kawasan yang penuh dengan habuk dan debu daripada asteroid 3200 Phaethon ini lalu menghasilkan juraian meteor Geminid.

Dataset laluan habuk dan debu asteroid 3200 Phaethon yang menunjukkan ia melintasi kawasan orbit Bumi dan menghasilkan meteor Geminid.

Tahun ini, asteroid ini akan melintasi hampir dengan Bumi pada jarak hanya 10.3 juta km pada 16 Disember 2017, jam 7 PM waktu Malaysia. Ia akan bersinar pada magnitud 11, dan boleh dilihat dengan teleskop yang sederhana besar. Ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Maklumat lanjut mengenai lintasan ini boleh didapati di sini.

Nama Geminid ini pun merujuk kepada buruj Gemini di mana meteor-meteor ini kelihatan mula muncul.

Kajian menunjukkan akibat kesan graviti planet Musytari, laluan habuk dan debu ini bergerak semakin hampir ke kawasan orbit Bumi saban tahun. Ini mungkin antara sebab meteor Geminid ini merupakan antara juraian meteor yang paling aktif dengan bilangan kemunculan yang banyak.

Selamat mencerap semua!