Categories
PENDIDIKAN SAINS & INOVASI SELANGOR

Penyelidik UPM cipta dron gentian daun nanas, mesra alam

SHAH ALAM, 23 JULAI: Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mencipta dron daripada gentian daun nanas yang mampu mengelak litar pintas serta mudah diperbaiki.

Ketua kumpulan penyelidik itu berkata dron itu boleh terbang sehingga 30 meter tinggi dan berada di udara selama 20 minit.

“Dron bahan semulajadi mempunyai kekuatan tinggi berdasarkan berat berbanding dron gentian sintetik serta lebih murah, ringan manakala bahan semulajadinya mudah diperolehi.

Dron daripada gentian daun nanas hasil inovasi penyelidik UPM mampu terbang sehingga 30 meter tinggi dan berada di udara selama 20 minit. Foto: UPM

“Biokomposit berpotensi gantikan bahan sedia ada dengan kelebihan seperti ringan dan mesra alam kerana faktor biodegradasi mudah terurai dan dilupus,” kata Prof Ir Ts Dr Mohamed Thariq dalam kenyataan media.

Beliau berkata idea mencipta dron gentian daun nanas tercetus semasa projek komuniti di Teluk Panglima Garang ketika didatangi ketua kampung meminta UPM membantu melupus daun nanas.

Dr Mohamed Thariq berkata 300 gram daun nanas boleh menghasilkan empat keping ‘plate’ pembuatan dron sekali gus memanfaatkan penggunaan bahan semulajadi itu.

Inovasi dron itu memenangi pelbagai pengiktirafan antarabangsa dan tempatan.

Categories
GLOBAL SAINS & INOVASI

Kapal angkasa NASA pecah rekod hampiri matahari

TAMPA 30 OKT: Kapal angkasa Agensi Aeronautik dan Pentadbiran Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA), Parker Solar Probe,yang dilancarkan baru-baru ini, berjaya mencatatkan rekod terbaru, apabila menjadi objek pertama buatan manusia tiba di matahari.

“Kapal angkasa ini berjaya melepasi rekod semasa, iaitu 42.73 juta kilometer dari permukaan matahari pada 29 Oktober 2018, kira-kira jam 1.04 malam (waktu tempatan).

“Rekod terdahulu pernah dicatatkan oleh kapal angkasa milik Jerman-Amerika Syarikat Helios 2 pada April 1976,” kata NASA dalam satu kenyataan.

Sementara itu, kapal angkasa tanpa pemandu itu dilancarkan pada 12 Ogos lalu, dengan misi strategik untuk meneroka rahsia ribut solar yang berbahaya.

Parker Solar Probe dijadualkan bertembung dengan matahari buat kali pertama pada 31 Oktober ini.

 

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL SAINS & INOVASI

Kapal angkasa terbaharu misi mendarat di bulan diperkenal

GLOBAL 6 OKT: Syarikat aeroangkasa, Amerika Syarikat (AS), Lockheed Martin memperkenalkan kapal angkasa terbaharu yang boleh mendarat di permukaan bulan.

Syarikat itu turut merancang menghantar angkasawan ke bulan buat pertama kali sejak 1972 sebagai langkah awal untuk menerokai Marikh, iaitu sebahagian daripada dasar rasmi AS yang ditetapkan oleh Presidennya, Donald Trump.

Bagi merealisasikan matlamat ini, Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Negara (NASA) meminta pengeluar industri angkasa lepas membentangkan rancangan membina sebuah stesen angkasa lepas yang mengelilingi bulan, dikenali sebagai Lunar Gateway dan juga kapal angkasa yang akan mendarat di bulan.

Stesen angkasa lepas itu dirancang dibina dengan bantuan negara-negara lain pada 2020-an dan mampu memuatkan empat orang menjelang 2026, mengikut kalender NASA pada Ogos lalu.

Kapal angkasa Lockheed Martin direka untuk berulang-alik di antara permukaan Bulan dan mengorbit Lunar Gateway itu diperkenalkan ketika Kongres Angkasawan Sedunia di Bremen, Jerman.

Kapal angkasa itu boleh memuatkan empat penumpang, membawa satu tan peralatan dan boleh tinggal di bulan sehingga dua minggu tanpa mengisi semula minyak sebelum kembali ke stesen.

Secara kasarnya, kapal ang­kasa berkaki empat itu kelihatan seperti kapal angkasa digunakan angkasawan pertama yang berjalan ke bulan pada 1969 tetapi versinya lebih tinggi.

Sebelum itu, NASA mahu menghantar angkasawan me­nge­lilingi Bulan selama lapan hari pada 2023 dengan menaiki kapal angkasa The Orion, kapal angkasa keluaran Lockhee Martin.

Kapal angkasa tersebut akan dihantar ke angkasa lepas menggunakan Sistem Pelancaran Ang­kasa Lepas (SLS), masih dalam pembinaan dan direka agar menjadi roket paling berkuasa pernah dibina.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL SAINS & INOVASI

China guna teknologi AI atasi masalah kekurangan doktor

SHANGHAI 22 SEPT: Teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) bakal digunakan di China bagi membantu masalah kekurangan doktor.

China memiliki kurang daripada 12 juta kakitangan kesihatan pada tahun 2017 dengan populasi negara itu yang mencecah hampir 1.4 bilion, menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan.

 

Terbaharu, sebuah syarikat teknologi tinggi tempatan membangunkan peranti kecil yang mempunyai gelang separuh terbuka bagi merekodkan kadar degupan jantung.

Ia merupakan salah satu usaha yang menyasarkan untuk membantu masalah kekurangan doktor dengan menggabungkan data besar dan teknologi AI.

Peranti yang dihasilkan oleh Ping An Good Doctor itu dipamerkan pada Ekspo AI Dunia 2018 di Shanghai ketika pembuat dasar China berusaha untuk menjadikan negara itu sebagai pendahulu teknologi global.

Salah seorang pengunjung ekspo itu, Qu Jiangquo, 64, berkata dia datang ke Shanghai untuk melihat bagaimana rawatan perubatan gaya China boleh dilakukan tanpa doktor sebenar.

“Saya telah mencuba peralatan yang mengambil denyutan nadi secara automatik dan menerima hasil dalam tempoh dua minit melalui telefon bimbit. Tanpa kehadiran seorang doktor, itu akan menjadi sangat mudah,” katanya.

Ping An Good Doctor yang tersenarai di Hong Kong baru-baru ini mempunyai salah satu platform penjagaan kesihatan dalam talian terbesar China dengan 228 juta pesakit berdaftar.

Jurucakap syarikat, Bi Ge berkata, mereka menerima 500,000 permohonan bagi mendapatkan nasihat perubatan setiap hari.

Mesin mengambil denyutan nadi itu merupakan sebahagian daripada sistem bantuan perubatan AI Ping An Good Doctor yang membolehkan pesakit melakukan pemeriksaan awal segera dan mendapatkan preskripsi tanpa perlu ke hospital.

Perkhidmatan yang ditawarkan termasuk aplikasi telefon pintar dengan pesakit memasukkan data peribadi, sejarah perubatan dan menerangkan simptom yang dialami kepada ‘penyambut tetamu’ AI yang akan menghantar maklumat berkenaan kepada doktor sebenar untuk didiagnosis.

“Ia pasti dapat mengurangkan masalah kekurangan doktor di China,” kata bekas doktor di Hospital Kolej Perubatan Kesatuan Peking, Liu Kang.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL SAINS & INOVASI

53% kerja manusia diganti mesin menjelang 2025

PARIS 17 SEPT: Mesin akan mengendalikan 53 peratus kerja manusia, iaitu hampir dua kali ganda sekarang menjelang 2025, menurut kajian Forum Ekonomi Dunia (WEF) semalam.

WEF menganggarkan peningkatan ketara itu juga akan melihat keuntungan dalam ‘peranan baharu’ bagi manusia, yang perlu mengubah kemahiran selaras dengan ‘peralihan seismik’ dalam cara bekerja dengan mesin dan program komputer.

“Menjelang 2025, lebih separuh daripada semua tugas di tempat kerja akan dilakukan mesin berbanding 29 peratus hari ini,” menurut kenyataan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan di Switzerland.

Serentak itu, perubahan pesat dalam mesin dan algoritma atau proses komputer yang direka untuk menyelesaikan masalah berkemungkinan ‘boleh mencipta 133 juta peranan baharu di 75 juta tempat yang akan digantikan antara sekarang dan 2022’, menurut ramalan kumpulan itu.

WEF yang berpangkalan di Geneva sering menganjurkan persidangan tahunan di Davos, Switzerland dengan dihadiri ahli politik, pengarah eksekutif dan tokoh terkemuka.

Laporan Future of Jobs 2018 meramalkan mesin akan menggantikan manusia dalam bidang perakaunan, pengurusan pelanggan, perindustrian, pos dan kesetiausahaan.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL SAINS & INOVASI

BMW keluarkan motosikal bergerak sendiri ala ‘Knight Rider’

BERLIN 17 SEPT: Pengeluar kenderaan Jerman, BMW baru sahaja memperkenalkan sebuah model motosikal bergerak sendiri yang mana ia boleh memecut dan melengkapkan satu pusingan di litar dan parkir tanpa penunggang.

Satu klip video yang dikongsi oleh BMW Motorrad, unit pengeluaran motosikal syarikat berkenaan, menunjukkan aplikasi teknologi itu pada model R1200GS. Ia mengambil masa selama dua tahun untuk dibangunkan.

 

Jentera itu menggunakan satu perisian pintar yang membolehkan enjin dihidupkan, kawalan motosikal, kuasa memecut dan mengambil selekoh serta membrek tanpa campur tangan manusia.

BMW berharap teknologi kecerdasan pintar (AI) boleh membantu meningkatkan keselamatan penunggang menerusi bantuan kawalan tunggangan dan membrek dalam situasi berbahaya atas jalan.

Syarikat itu mendakwa kenderaan itu dibina bukan untuk pengguna tetapi sebagai medium memahami bagaimana ciri keselamatan baharu boleh diserapkan ke dalam rangkaian produk motosikal BMW.

Bagaimanapun, kumpulan pengkaji yang menghabiskan masa beratus-ratus jam melakukan penyelidikan dan pembangunan teknologi tersebut berharap AI itu boleh dipasang dalam model-model motosikal BWM pada masa hadapan.

Firma automotif itu tidak mendedahkan jenis teknologi yang digunakan untuk tunggangan sendiri tetapi dipercayai membabitkan kamera sensor, lidar dan teknologi AI.

SUMBER: AGENSI

Categories
GLOBAL SAINS & INOVASI

Saintis China bangunkan plastik boleh terurai atasi pencemaran laut

BEIJING, 5 SEPT: Saintis China membangunkan sejenis plastik boleh terurai jika dibuang ke dalam laut, sekaligus membantu mengurangkan pencemaran plastik yang semakin serius di perairan, lapor Xinhua.

Jurutera kanan Institut Teknik Fizik dan Kimia Akademi Sains China, Wang Gexia berkata, poliester komposit baharu yang boleh terurai dalam air laut untuk tempoh beberapa hari hingga ke seratus hari itu, hanya akan meninggalkan molekul kecil dan tidak menyebabkan pencemaran,

“Sejak sekian lama tumpuan hanya diberikan kepada pencemaran di darat. Pencemaran plastik di laut mula menjadi perhatian apabila banyak laporan mengenai hidupan laut yang mati dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Wang.

Kira-kira 4.8 hingga 12.7 juta tan sisa plastik dibuang ke laut setiap tahun, menyumbang 60 hingga 80 peratus jumlah pencemaran pepejal di lautan, menurut anggaran saintis.

Disebabkan aktiviti manusia dan keadaan laut, kebanyakan sisa berkumpul di bahagian utara dan selatan Pasifik dan Atlantik serta tengah Lautan Hindi.

Media Perancis melaporkan jumlah sisa plastik di lautan antara California dan Hawaii, seluas 3.5 juta kilometer persegi, atau tujuh kali wilayah Perancis – dan terus meningkat sebanyak 80,000 kilometer persegi setahun.

Forum Ekonomi Dunia juga memberi amaran jumlah bahan buangan plastik di lautan akan melebihi jumlah berat ikan di laut pada 2050.

Hampir semua jenis plastik boleh didapati di laut, sama ada terapung atau tenggelam, dan tidak boleh mengurai selama beberapa dekad bahkan berabad lamanya, ujar Wang.

Banyak penyu serta lebih dari 90 peratus burung laut mati akibat termakan plastik.

“Kami masih kekurangan cara berkesan menangani pencemaran plastik yang serius. Sisa plastik di laut tidak dapat dikumpul seperti di darat. Ia mungkin dapat diatasi dengan membiarkan bahan-bahan itu terurai dan hilang,” katanya.

Institut Teknikal Fizik dan Kimia, satu daripada institusi penyelidikan terkemuka di China membangunkan plastik yang boleh terbiodegradasikan secara alami.

Penyelidikan itu baru-baru ini terpilih memenangi pertandingan teknologi inovatif masa depan di Shenzhen, Wilayah Guangdong.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL SAINS & INOVASI

Asteroid besar saiz pesawat Boeing 747 bakal lintasi Bumi 29 Ogos

GLOBAL 25 OGOS: Sebuah asteroid besar dianggarkan berukuran dua kali ganda daripada saiz pesawat Boeing 747 bakal melintas dan menghampiri Bumi, minggu depan.

MAIL ONLINE melaporkan, asteroid dinamakan 2016 NF23 dijangka melintasi Bumi pada 29 Ogos sekitar jarak lebih 4.8 juta kilometer atau 13 kali ganda jarak antara Bumi dan Bulan.

Batuan angkasa besar itu bergerak pada kelajuan lebih 32,400 kilometer sejam dan dianggap sebagai objek berbahaya memandangkan jarak asteroid berkenaan namun laluan asteroid itu akan membolehkannya meluncur pada jarak selamat pada awal September.

Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), asteroid 2016 NF23 dianggarkan mempunyai lebar 70 hingga 160 meter yang bersamaan panjang sebuah Boeing 747.

Pada ukuran 160 meter, asteroid itu lebih tinggi daripada Piramid Agung Giza di Mesir yang hanya berukuran 138 meter.

Batuan angkasa dikategorikan dalam kumpulan ‘Athens’ yang dinamakan sempena asteroid 1862 Athens.

Gambar rajah daripada Makmal Pendorongan Jet NASA menunjukkan orbit batuan itu bersilang dengan Bumi dan asteroid semakin dekat dengan planet manusia itu dalam beberapa hari menjelang 29 Ogos, pada hari asteroid mencapai titik paling dekat.

Ketika ini, asteroid itu berada kira-kira .03 unit astronomi (au) atau kira-kira 4.8 juta kilometer dari Bumi.

 

Categories
GLOBAL SAINS & INOVASI

Satelit pertama ukur corak angin global bakal dilancarkan

PARIS 19 OGOS: Satelit yang dicipta untuk mengukur corak angin global di Bumi dijangka dilancarkan ke orbit Selasa ini dari tapak pelancaran Arianespace di French Guiana.

Misi Aeolus, dinamakan sempena penjaga angin dalam mitos Greek, yang dilancarkan oleh Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA), berjanji memperbaiki ramalan cuaca jangka pendek dan pemahaman mengenai perubahan suhu disebabkan buatan manusia.

“Pakar kaji cuaca amat memerlukan data profil angin yang kukuh untuk memperbaiki ketepatan,” kata ESA dalam kenyataan.

Angin tropika secara khusus dipetakan dengan amat teruk kerana hampir ketiadaan pemantauan secara langsung.

Sebaik berada di orbit, Aeolus boleh memperoleh data dari mana-mana saja di planet, termasuk wilayah terpinggir yang kekurangan pusat cuaca.

Satelit itu membawa teleskop besar berukuran 1.5 meter seluruhnya, penerima ultra sensitif dan sistem pengesanan udara Doppler, yang dinamakan Aladin.

Di orbit, data dimuat turun ke stesen di Svalbard di Norway.

Aeolus adalah misi Meneroka Bumi kelima ESA.

SUMBER: AFP

Categories
NASIONAL SAINS & INOVASI

Satelit nano UiTM kini tiba di orbit

SHAH ALAM 11 OGOS Universiti Teknologi Mara (UiTM) melakar sejarah apabila menjadi institusi pendidikan awam pertama di negara ini yang berjaya melancarkan satelit nano sulungnya ke orbit dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Satelit UiTMSAT-1 itu dilancarkan ke orbit kira-kira 5.45 petang waktu Malaysia dan acara tersebut dipancarkan secara langsung dari Agensi Eksplorasi Angkasa Lepas Jepun (JAXA).

Turut hadir menyaksikan pelancaran itu ialah Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir, Ketua Unit Pengoperasian Angkasa Agensi Angkasa Negara Hamid Salim dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM Dr Juliana Johari.

Siti Hamisah ketika ditemui pemberita kemudian berkata pelancaran “UiTMSAT-1” itu merupakan satu titik tolak dalam memperkasa penyelidikan berkaitan bidang angkasa di negara ini.

 

“Projek satelit yang dilancarkan UiTM merupakan satu projek yang sememangnya patut dibanggakan dan universiti lain di negara ini juga digalakkan mengikut jejak langkah UiTM untuk merancakkan lagi bidang kajian angkasa,” katanya.

Satelit itu dilancarkan ke ISS menerusi roket kargo Space X Falcon 9 dari Stesen Tentera Udara Cape Canaveral di Florida, Amerika Syarikat pada 29 Jun lalu.

Satelit nano berbentuk kiub berukuran 10 sentimeter itu dibina oleh 2 pelajar UiTM di Jepun iaitu Syazana Basyirah Mohamad Zaki dan Muhammad Hasif Azami, hasil jalinan kerjasama dengan Kyushu Institute of Technology (KyuTech) menerusi program “Joint Global Multi-Nation (BIRDS-2)”.

Selain mereka, turut mengikuti program berkenaan ialah 8 pelajar lain dari Bhutan dan Filipina yang membina satelit nano bagi negara mereka iaitu BHUTAN-1 dan MAYA-1 (Filipina).

Projek tersebut bermula dengan perancangan misi satelit pada Disember 2016, diikuti dengan mereka bentuk dan membina model satelit, menguji, memasang, sebagai persediaan pelancaran dan menggerakkan satelit berkenaan.

Sementara itu, Muhammad Hasif berkata data yang diperoleh daripada satelit itu akan disalurkan ke Pusat Satelit Komunikasi UiTM untuk tujuan penyelidikan.

“Satelit ini mempunyai 6 misi antaranya pengambilan imej, menguji korelasi lokasi satelit, ujian cip Sistem Penentu Kedudukan Global, mengukur medan magnetik di angkasa untuk data pemetaan geomagnetik di rantau Asia Tenggara serta komunikasi radio.

“Selepas setengah jam satelit berada di ruang angkasa, kita sudah boleh mengumpul data-data yang diperlukan selaras dengan misi satelit itu,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL SAINS & INOVASI

Firma Penyelidik: Penggunaan Kepintaran Buatan di Malaysia masih rendah

KUALA LUMPUR 14 JUL: Kajian firma penyelidikan pasaran dan nasihat teknologi maklumat, IDC mendapati penggunaan kepintaran buatan (AI) syarikat di negara ini masih rendah berbanding negara Asia Tenggara lain seperti Indonesia, Thailand dan Singapura.

Naib Presiden ASEAN SAS, Andy Zook dalam kenyataan media berkata, kebanyakan organisasi bimbang dengan kos penyelesaian tinggi selain meragui keupayaan AI.

Katanya jika dibandingkan dengan negara Asia Utara, organisasi tempatan tidak begitu berminat memiliki keupayaan AI sekali gus mengurangkan keupayaan mereka memahami penyelesaian AI dalam mengukuhkan perniagaan.

“Organisasi mengakui bahawa AI dan analisis boleh membantu menyelesaikan masalah rumit. Bagaimanapun, untuk memanfaatkan sepenuhnya teknologi ini mereka perlu memiliki visi jelas bagi pelaburan data besar dan AI.

“Persoalan utama adalah bagaimana AI dapat menambah baik staf dan teknologi semasa untuk mendapat hasil perniagaanoptimum. Dalam ekonomi digital AI dan analisis adalah pemacu kejayaan organisasi dan syarikat memerlukan haluan yang jelas daripada data kepada inovasi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Penyelidikan Global, Data Besar dan Analisis dan Kognitif AI IDC Asia dan Asia Pasifik, Chwee Kan Chua berkata, beberapa sektor antaranya perbankan, pengeluaran, penjagaan kesihatan dan kerajaan mendapat manfaat besar daripada penggunaan AI.

Menurut beliau, pelaburan dalam AI dijangka terus meningkat apabila lebih banyak organisasi mula memahami dan menyedari kepentingan teknologi itu kepada perniagaan.

Katanya lagi, syarikat yang tidak memasukkan elemen AI dalam operasi perniagaan akan ketinggalan berbanding pesaing mereka.

Contohnya lebih 80 peratus dari syarikat di China dan Korea Selatan berpendapat keupayaan AI adalah penting untuk kejayaan dan daya saing organisasi pada masa akan datang manakala kurang daripada 40 peratus syarikat di Singapura dan Malaysia mempunyai pandangan sama.

=EZY=

Categories
AGAMA NASIONAL SAINS & INOVASI

Planetarium Negara: Peluang tentukan arah Kiblat 16 Julai

KUALA LUMPUR 14 JUL: Umat Islam di Malaysia berpeluang untuk memastikan arah kiblat di rumah atau masjid pada 5.27 petang Isnin ini (16 Julai) apabila matahari berada tepat di atas Kaabah di Makkah, menurut Planetarium Negara.

“Oleh kerana matahari berada tepat di atas Kaabah, maka bayang-bayang sinaran matahari bagi semua objek yang ada di permukaan bumi pada ketika itu akan menghala ke arah Kaabah dan boleh dijadikan panduan bagi menentukan arah kiblat secara semulajadi,” menurut Planetarium Negara dalam satu kenyataan.

Orang ramai perlu mencari objek yang berdiri tegak yang dapat menunjukkan bayang-bayangnya apabila terkena sinaran matahari pada waktu itu.

“Orang ramai boleh mendirikan tiang di kawasan bersesuaian dan memastikan tiang berkenaan betul-betul tegak dengan menggunakan peralatan pelaras buih udara yang biasanya digunakan untuk pembinaan bangunan sekiranya tiada objek tegak, selain berpandukan pinggir dinding bangunan yang betul-betul tegak untuk mencari bayang-bayang matahari pada waktu dan tarikh berkenaan.

“Tepat pukul 5.27 petang dan sekiranya cuaca baik di mana anda dapat melihat bayang-bayang matahari daripada tiang yang anda dirikan atau daripada pinggir bangunan atau sebarang objek tegak lain.

“Anda perlu melakarkan garisan bayang-bayang matahari yang terbentuk sama ada di atas tanah atau kertas atau sebarang permukaan yang mudah dilukis atau diguris,” menurut Planetarium Negara.

Kenyataan itu turut menyebut garisan yang telah berjaya dilakar itulah yang merupakan hala ke arah Kaabah atau arah kiblat jika mereka berdiri di satu hujung garisan dan menghadap ke hujung satu lagi garisan pada arah matahari terbenam.

“Orang ramai hendaklah memastikan garisan yang dilakar itu dapat dikekalkan tanpa sebarang gangguan atau usaha untuk memadamkannya bagi rujukan pada masa hadapan.

“Setelah arah kiblat diketahui maka bandingkanlah dengan arah kiblat yang biasanya anda ikuti sama ada di rumah sendiri atau di masjid dan surau. Sekiranya terdapat perbezaan maka buatlah pembetulan yang sewajarnya,” tambah kenyataan itu.

Sehubungan itu, Planetarium Negara di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar akan menganjurkan Program Pencerapan dan Menandakan Bayang-bayang Matahari pada Isnin ini mulai pukul 4 petang hingga 6 petang.

Program yang diadakan di hadapan pintu masuk Planetarium Negara itu diadakan untuk memberi pendedahan kepada awam kaedah menentukan arah kiblat melalui pencerapan bayang-bayang matahari.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Planetarium Negara di talian 03-22735484 atau email [email protected] atau melayari laman sesawang Planetarium Negara di www.planetariumnegara.gov.my atau Facebook Planetarium Negara.

SUMBER: BERNAMA