Categories
PBT SELANGOR

MPK tawar pengurangan kompaun serendah RM15

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 11 DIS: Orang ramai disaran menjelaskan bayaran kompaun letak kenderaan sempena Krismas ini serendah RM15 sahaja, di Majlis Perbandaran Klang.

Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, tawaran terbabit dibuat dalam tempoh terhad, menjelang akhir tahun ini.

Katanya, pengurangan itu membabitkan kesalahan Kompaun Letak Kereta, bermula 15 hingga 24 Disember ini.

“Tawaran kempen pengurangan berkenaan bertujuan menggalakkan orang ramai mengambil peluang menjelaskan kompaun tertunggak mereka.

“Kempen yang diadakan juga akan membantu pelanggan tidak berkesempatan untuk menjelaskan kompaun terdahulu supaya dapat diselesaikan mengikut tarikh ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.

Norfiza berkata, semakan boleh dibuat di Kaunter Tambahan di Lobi Ibu Pejabat Majlis dan Pejabat Cawangan MPK Jalan Tengku Kelana.

Katanya, bayaran boleh dibuat di semua kaunter Majlis di Ibu Pejabat MPK, Pejabat Cawangan MPK Jalan Tengku Kelana, Kompleks Pasar Besar Jalan Meru, Perhentian Bas Pelabuhan Klang dan Pekan Kapar.

“Selain itu, bayaran juga boleh dilakukan di Kaunter MPK Pasaraya Giant Bukit Tinggi, Kaunter Van Bergerak MPK dan kaunter pasaraya terpilih yang akan disediakan.

“Pembayaran kompaun melalui ‘online’ juga boleh dilakukan,” katanya.

Perkhidmatan semakan dan pembayaran tawaran kompaun di pasar raya terpilih dibuka, pada Sabtu dan Ahad bermula 16 hingga 17 Disember ini, di Pasaraya Aeon Bukit Raja, Klang manakala 23 dan 24 Disember ini di Pasaraya Aeon Bukit Tinggi, Klang.