Categories
NASIONAL RENCANA

Najib diangkat sebagai keramat hidup, ada bantahan?

OLEH NAZLI IBRAHIM

KOMENTAR: Selepas berhari-hari bersidang, sekonyong-konyong sebelum berakhir Perhimpunan Agung Umno (PAU) kelmarin, akhirnya muncul juga satu idea paling hebat, paling bernas dan paling ‘global’ dicetuskan perwakilan.

Idea yang datangnya daripada perwakilan negeri Tuan Presiden sendiri, Wan Emril Nizam Wan Embong itu menyebut Datuk Seri Najib Razak layak diangkat sebagai keramat hidup disebabkan jasa-jasa beliau kepada bangsa dan negara. Maka bergemuruhlah PWTC dengan tepukan dan sorakan sekelian perwakilan dan pemimpin Umno.

Bagi penulis, tanpa ragu-ragu lagi penulis bersetuju 100 peratus dengan pengiktirafan diberikan Wan Emril Nizam kepada Najib.

Pada Disember 2011 penulis sendiri pernah menulis sebuah kisah (fiksyen) mengenai sebuah telaga keramat yang diterbitkan sebuah portal terkenal di mana terdapat persamaan dengan pengiktirafan keramat yang diberikan kepada Najib.

Tulisan empat bahagian itu berkisar tentang perjuangan Ketua Kampung Telaga Tunggal yang juga pewaris telaga keramat iaitu Tok Jib mempertahankan sebuah telaga yang beliau percaya mempunya keramatnya tersendiri.

Walaupun telaga keramat yang diwarisi itu semakin tidak digunakan orang kampung disebabkan perkembangan arus kemodenan yang membolehkan penduduk memperolehi bekalan air paip, namun Tok Jib berjaya menanamkan pemikiran kononnya air telaga keramatnya itu mempunyai pelbagai khasiat termasuk mampu menyembuhkan penyakit.

Selain itu, Tok Jib juga berjaya menakut-nakutkan penduduk kampung, kononnya kampung mereka akan ditimpa bencana disebabkan kemarahan keramat yang menunggu telaga itu sekiranya orang-orang kampung tidak lagi menggunakannya.

Bukan itu sahaja, malahan Tok Jib turut mengenakan bayaran tinggi kepada orang ramai yang mahu mendapatkan air telaga keramatnya.

Oleh kerana terlalu asyik mengira keuntungan diperolehi daripada telaga keramatnya, tanpa disedari Tok Jib telaga itu menjadi tidak terurus dan mengundang pelbagai penyakit.

Akhirnya, disebabkan semakin ramai orang kampung ditimpa penyakit khususnya demam denggi, pembohongan Tok Jib terbongkar dan menimbulkan pemberontakkan orang kampung yang merasa diri mereka tertipu.

Ketika itu orang kampung tersedar, keramat yang disebut-sebut oleh Tok Jib itu sebenarnya tidak wujud, hanyalah khayalan mereka, karut dan ditambah pula ia khurafat – berdosa besar!

Berbalik kepada pengiktirafan keramat hidup terhadap Najib tadi, maka memang benarlah Najib keramat hidup – kononya memberi manfaat kepada orang ramai walaupun hakikatnya memberi kemudaratan.