Categories
PBT SELANGOR

MPSJ rai 15 kebun komuniti

OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 23 DIS: Sebanyak 15 kebun komuniti di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dirai menerusi Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kebun Komuniti 2017, baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Korporat MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, anugerah itu dianjur dengan peruntukan RM30,000 diperoleh menerusi pelaksanaan Projek Hijau daripada Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Selangor.

Katanya, ia bertujuan meningkatkan motivasi kepada peserta untuk terus aktif dan bersaing secara sihat di antara satu sama lain.

“Program ini juga dapat mengeratkan hubungan sesama kaum dan agama melalui aktiviti perkebunan dijalankan, sekali gus mengerat serta memperkukuhkan hubungan baik yang terjalin antara MPSJ juga Jawatankuasa Penduduk (JKP),” katanya dalam kenyataan.

Azfarizal berkata, tempat pertama dimenangi Kebun Komuniti USJ 6, Subang Jaya yang menerima wang tunai RM5,000.

Katanya, tempat kedua dimiliki Pangsapuri Garnett, Puchong (RM4,500) diikuti tempat ketiga Pangsapuri Cengal/Cendana, Serdang (RM2,500).

“Jabatan Landskap melaksanakan pertandingan berkenaan bagi 15 lokasi yang layak dari 21 lokasi kebun, di MPSJ.

“Sesi audit diadakan selama tiga hari bermula 12 hingga 14 Disember lalu dengan diadili juri dari Jabatan Pertanian Gombak Petaling,” katanya.