Categories
SELANGOR

PAC puas hati agensi ambil tanggungjawab baiki kesilapan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 DIS: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Selangor berpuas hati terhadap penjelasan agensi bertanggungjawab berhubung beberapa perkara dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016.

Pengerusinya, Ng Suee Lim berkata, pendengaran tertutup hari ini berhubung pengurusan Pusat Latihan Awam Selangor (PLAS) oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan Sesi Taklimat berhubung Projek Tebatan Banjir, di Batu Tiga membabitkan Lebuhraya Pantai Barat serta kawasan sekitar.

“Kita berpuas hati dengan maklum balas dan penjelasan agensi dipanggil.

“PAC akan masukkan semua butiran dalam penyata untuk diserahkan kepada Kerajaan Negeri bagi tindakan susulan,” katanya pada sesi pendengaran tertutup, di Dewan Annex.

Pendengaran tertutup itu turut dihadiri Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; ADN Batu Tiga, Rodziah Ismail; ADN Meru, Dr Abdul Rani Osman dan ADN Balakong, Ng Tien Chee.

Terdahulu, laporan audit mendapati beberapa jawatan utama dalam PLAS tidak diisi, mengakibatkan kelancaran urusan pentadbiran mereka terjejas.

“Mereka kekurangan kakitangan dan jawatan pengarah tidak diisi hampir tiga tahun. Perkara ini sangat serius, sehinggalah Jun lalu pengarah baru mengisi kekosongan.

“Kita nampak ada banyak peningkatan berlaku. Dahulu dalam tempoh tiga tahun, ada 56 kursus dianjurkan tetapi untuk 2017, sebanyak 52 kursus. PAC mengambil perhatian kekosongan jawatan termasuk di agensi lain,” katanya.

Mengulas berkenaan penjelasan banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga khusunya di Sungai Rasau, Suee Lim berkata, beliau berharap semua agensi dapat memberi kerjasama dan mengambil tanggungjawab masing-masing.

Katanya, pembentukan jawatankuasa bertindak kecil diketuai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) juga dihadap dapat mengelakkan kejadian sama daripada berulang.

“Isu ini sangat panas kerana terdapat tiga projek sedang berjalan membabitkan 12 agensi di Sungai Rasau.

“Kita harap selepas UPEN mengetuai koordinasi semua agensi ini, semua hal berkaitan dapat dipercepatkan dan kekangan iatasi. PAC turut berpuas hati ada tindakan turun padang dilakukan,” katanya.