Categories
SELANGOR

Pemaju tiada hak paksa pembeli terima pakej ‘upgrading’

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 21 DIS: Pemaju tidak dibenarkan menaikkan harga rumah kos rendah atau Rumah Selangorku jenis A dan mesti dijual dengan harga RM42,000 atau RM35,000 bagi bekas peneroka bandar yang layak.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, Kerajaan Negeri menerima aduan terdapat pemaju memaksa dan mengugut pembeli menerima pakej ‘upgrading’ dengan bayaran tambahan sehingga RM30,000.

Katanya, pembeli kononnya dijanjikan bakal mendapat kemasan lantai, dinding, siling dan kelengkapan rumah yang lebih baik dengan pakej itu.

“Pembeli berkemungkinan boleh mendapat ‘upgrading’ ini dengan harga yang lebih murah jika melantik kontraktor mereka sendiri.

“Mereka mesti melaporkan kepada Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) jika terdapat pemaju yang memaksa mereka menerima pakej berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Iskandar berkata, pemaju juga tidak boleh mengugut membatalkan perjanjian jual-beli jika pembeli enggan menerima pakej itu.

Katanya, pembeli juga dinasihat membuat laporan polis jika pemaju memaksa mereka dengan menggunakan kekerasan atau ahli kongsi gelap.

“Pakej ‘upgrading’ ini merupakan taktik licik dalam kalangan pemaju untuk menaikkan harga rumah kos rendah.

“Kerajaan Negeri akan bertindak tegas termasuk mengeluarkan notis berhenti kerja, menahan kelulusan Kebenaran Merancang atau Pelan Bangunan untuk projek Rumah Selangorku atau projek rumah harga bebas.

“Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan juga diharap dapat mengambil tindakan tegas seperti menarik balik atau menggantung lesen pemaju,” katanya.

Untuk makluman, LPHS boleh dihubungi menerusi talian 03 5510 3924, 03 5510 3487, 03 5544 7537 atau 03 5510 2177.

Orang ramai juga boleh faks ke 03 5513 5568 / 03 5510 0798 atau emel [email protected], [email protected], [email protected] atau [email protected].