Categories
SELANGOR

Tambahan RM1.5 juta cegah denggi

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 21 DIS: Sejumlah RM1.5 juta peruntukan tambahan disediakan Kerajaan Negeri bagi membendung peningkatan kes demam denggi yang dijangka berlaku, pada awal 2018.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, ia merupakan tambahan kepada peruntukan RM2.66 juta disediakan, pada awal tahun bagi membolehkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melakukan langkah kawalan dan pencegahan.

Katanya, Mesyuarat Tindakan Denggi Selangor turut mencatatkan beberapa pencapaian membanggakan sepanjang 2017.

“Antaranya, trend kes daftar denggi mingguan terkini adalah terendah untuk tahun ini dengan 408 kes didaftarkan, pada minggu epid (ME) ke-48 dan ia merupakan rekod terendah sejak 2015.

“Angka kurang dari 500 kes ini berterusan sejak beberapa minggu, termasuk hanya 466 kes, pada ME-49 dan 459 pada ME-50, iaitu minggu terkini,” katanya dalam kenyataan.

Daroyah berkata, jumlah kumulatif kes daftar denggi sehingga ME-50 yang berakhir, pada 16 Disember lalu turut mencatatkan penurunan 5,961 kes, bersamaan 11.9 peratus.

Katanya, ia menjadikan hanya 44,196 kes didaftarkan, pada 2017 berbanding 50,157 kes, pada 2016 untuk tempoh sama.

“Jumlah hotspot juga berada pada paras terendah, iaitu untuk ME-50, Selangor hanya mencatatkan 10 lokaliti hotspot dan tiada lagi lokaliti hotspot melebihi 100 hari, di Selangor.

“Kejayaan ini hasil kerjasama agensi terbabit termasuk PBT, Jabatan Kesihatan Negeri, Pejabat Kesihatan Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah serta agensi lain seperti Ahli Dewan Negeri, Ahli Majlis serta badan bukan kerajaan,” katanya.