Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MPAJ diyakini bertindak isu tapak sampah haram

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 21 DIS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) diyakini mampu memastikan isu tapak sampah haram di Pandah Indah diselesaikan sepenuhnya, kata Dato’ Iskandar Abdul Samad.

Ahli Dewan Negeri Cempaka itu berkata, MPAJ juga semestinya akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab yang membuang sampah di tapak terbabit bagi mendirikan Maahad Integrasi Tahfiz Sains (MITS) itu.

Katanya, ia terletak di tengah pusat komersial Pandan Indah, berhampiran ibu pejabat MPAJ serta bersebelahan Sekolah Rendah Agama, Masjid Al-Azim dan kawasan kediaman.

“Maka, sudah tentu ia akan memberi kesan kepada orang ramai terutama pelajar, di sekolah berkenaan.

“Tikus yang membiak di tapak itu dan asap sampah terbakar turut memberi kesan buruk kepada mereka,” katanya dalam kenyataan.

Iskandar berkata, beliau juga secara peribadi sudah memaklumkan kepada Yang Dipertua MPAJ buat kali kedua berhubung tapak berkenaan, pada 19 Disember lalu.

“Saya juga menggesa orang ramai membantu MPAJ membuat penguat kuasaan dengan mencatit nombor pendaftaran kenderaan yang membuang sampah, di situ.

“Rakyat di Pandan Indah juga mahu isu sampah ini diselesaikan segera dan berharap MITS itu siap menurut jadual,” katanya.