Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Rasuah adalah isu hak asasi

OLEH: DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menetapkan Hari Anti Rasuah Sedunia pada 9 Disember, diikuti Hari Hak Asasi Sedunia pada 10 Disember.

Lazimnya kita difahamkan masalah hak asasi di Malaysia adalah isu berkaitan kehidupan dan kematian seperti layanan terhadap tahanan atau hal berkaitan kebebasan asas, seperti kebebasan bersuara.

Bagaimanapun, kita perlu mengakui rasuah juga adalah isu hak asasi. Rasuah memberi kesan kepada hak asasi apabila kekayaan sepatutnya digunakan untuk memberi manfaat kepada orang ramai – meningkatkan tahap kesihatan, pendidikan, kehidupan – telah diselewengkan oleh individu berkuasa untuk keseronokan peribadi mereka.

Dalam usaha politikus rasuah menjalankan kegiatan salah atau mengelakkan pengadilan, pelbagai pelanggaran hak asasi boleh dilakukan oleh penjenayah kolar putih ini.

Sesiapa yang mengkritik tindakan mereka boleh dipenjara atau dihukum denda; seperti penggunaan Akta Hasutan kepada rakyat Malaysia yang berani bersuara.

Lebih memburukkan keadaan, sesiapa yang mendedahkan kesalahan mereka boleh hilang kehidupan.

Dalam usaha melarikan diri daripada pengadilan politikus rasuah boleh mempergunakan institusi undang-undang; hakim ditekan, Peguam Negara boleh dipecat.

Inilah yang dilakukan kleptokrat. Mereka menggunakan institusi kerajaan untuk mengambil kekayaan negara. Untuk mencuri mereka memperalat institusi demokrasi kita. 1Malaysia Development Berhad adalah isu rasuah, isu hak asasi yang menjejaskan negara tercinta.

Bercakap dalam Global Forum on Asset Recovery pada Isnin lalu, Peguam Negara Amerika Syarikat, Jeff Sessions berkata, “1MDB diwujudkan kerajaan Malaysia untuk mempromosikan pembangunan ekonomi jangka masa panjang untuk manfaat rakyat Malaysia.”

Malangnya, pegawai rasuah menggunakan dana ini untuk mendapatkan kemewahan peribadi. Ratusan juta dolar dibelanjakan untuk hartanah, kerja seni, hiburan dan kapal layar.

AS$4.5 bilion dana diselewengkan menerusi syarikat pesisir luar palsu dengan akaun bank merentasi dunia. Peguam Negara Sessions merumuskan, “Ini adalah kleptokrasi yang terburuk.”

Kleptokrasi bersenang-lenang atas rasuah dan menggugat hak asasi semua rakyat Malaysia, dan juga mereka yang belum lahir, kerana kekayaan yang sepatutnya menjadi milik mereka telah dibawa keluar dari Malaysia.

Di Selangor, kita berusaha untuk menjadi bertanggungjawab kepada masyarakat, menjadi telus dalam urusan kewangan dan mengamalkan urus tadbir yang baik demi mengembalikan kekayaan negeri kepada rakyat supaya mereka dan anak-anak boleh menikmati masa depan lebih baik.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Dato’ Menteri Besar Selangor