Categories
SUKANKINI

Sabak Bernam nadi pembangunan sepak takraw Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 4 DIS: Sabak Bernam berpotensi diangkat sebagai daerah pembangunan sukan sepak takraw negeri menerusi penubuhan Persatuan Sepak Takraw Sabak Bernam (PSSB).

Persatuan yang dterajui Presidennya, Ghazali Ismal yang juga ahli komuniti sepak takraw terbesar negara, Masyarakat Bola Rotan (MBR) komited memacu pertumbuhan nadi pembangunan sukan itu.

Beliau berkata, sejak penubuhan PSSB, pelbagai aktiviti dijalankan bagi mengukuhkan agenda pembangunan sukan itu, di peringkat akar umbi.

“Ini termasuk penganjuran Trio Impian Liga Perangsang Selangor iaitu satu inisiatif Sports For All yang dibiayai Kumpulan Perangsang Sdn Bhd membabitkan lebih 130 orang dari pelbagai peringkat umur.

“Program selama dua hari itu dipecahkan kepada tiga kategori iaitu bawah 12 dan bawah 17 tahun serta kategori terbuka,” katanya.

Penganjuran program itu menyaksikan 40 pelajar dari segenap kawasan di daerah Sabak Bernam meliputi peringkat usia menyertai program berkenaan.

Ghazali berkata, ia merupakan penemuan menarik kerana banyak pemain berbakat yang sebelum ini tidak dikesan muncul.

“Mutiara terpendam ini merupakan aset penting Sabak Bernam dalam sukan sepak takraw khususnya bagi proses pembangunan pada masa akan datang,” katanya.

Pada masa sama, Ghazali berkata, Sekolah Kebangsaan Sabak Bernam dan Bakat Baru Junior muncul juara bagi kategori bawah 12 tahun dan 17 tahun.

“Dengan adanya program sebegini, bintang sukan di daerah ini boleh diketengahkan dalam medium lebih baik dan pastinya menambah potensi Selangor untuk kembali merajai sukan tradisi ini,” katanya.