Categories
SELANGOR

Semak sebelum sebar, pastikan kesahihan berita

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 26 DIS: Pengguna media sosial diingatkan supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu yang boleh menganggu gugat ketenteraman awam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Gan Pei Nei, berkata sebarang maklumat tidak tepat hanya akan menimbulkan kebimbangan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Semak sebelum sebar. Sejak kebelakangan ini, saya terima banyak pertanyaan tentang berita yang mengatakan Jalan Rawang Bypass runtuh.

“Penyebaran berita yang palsu dan tidak bertanggungjawab seperti ini bukan sahaja menyebabkan kebimbangan awam, bahkan juga bazirkan masa dan tenaga jabatan berkenaan untuk membuat penjelasan,” katanya di Facebook.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan palsu dan sebaran sekeping gambar di media sosial yang mengaitkan kejadian tanah runtuh di Jalan Selayang – Serendah, baru-baru ini.

Terdahulu, Jabatan Kerja Raya (JKR) turut menafikan kenyataan kononnya runtuhan itu turut mengorbankan lima sekeluarga.

JKR dalam kenyataannya memaklumkan, hasil siasatan mendapati bahawa foto yang dikaitkan dengan kenyataan tersebut adalah sama dengan foto kejadian gempa bumi di Ecuador pada April 2016.

=EZY=