Categories
SASTERA

Gadis berambut perang

Oleh Sidek Rahim

TIDAK seperti hari-hari sebelumnya,  dia berhenti di kaki lima jalan untuk melihat bangunan lama yang akan diroboh. Dia matikan niat untuk pulang ke rumah walaupun badannya penat seharian bekerja. Posisi bangunan di tengah antara dirinya dan matahari selari, dengan bangunan tersebut menjadi benteng ufuk petang. Siluet kubikal memanjang ke arahnya, membenam keberadaan bentuk tubuhnya di tanah. Matanya meliar ke setiap penjuru. Perang cahaya berselerak dipecahkan debu kasar di sekeliling, seolah-olah meraikan ritual pemusnahan bangunan tersebut.

Bangunan ini telah lama mati. Tumbuhan parasit tumbuh melata di celah rekahan. Dia merenung tajam. Di sebalik struktur tenat, hangat api kehidupan yang pernah menyala dahulu masih terasa. Waktu telah membunuhnya. Ia perlu diganti dengan struktur baru agar kehidupan dapat berinteraksi lebih intim di setiap ruang yang ada.

Hanya dengan satu hentakan, satu persatu bahagian bangunan ― atap, dinding dan lantai dihempap batu beton jatuh ditarik graviti. Hangat matahari mula menyapa kerana tiada lagi benteng cahaya. Telah runtuh. Untuk seketika, matanya berseteru dengan matahari, sebelum bebola api gergasi itu berubah menjadi lohong hitam yang menelan cahaya di sekelilingnya, sedikit demi sedikit. Dia tunduk, agar lohong itu tidak turut menyedutnya ke ruang
infiniti.

* * *

Tiga kali seminggu sejak sekolah rendah lagi, dia didatangi mimpi sama, mimpi terperangkap dalam sebuah kota besar. Namun keberadaannya di sini hanyalah sekecil jarak mata dan telinga ― hanya mampu melihat dan mendengar. Dirinya juga tidak berjisim. Oleh sebab tidak terikat dengan graviti, dia mampu terbang ke mana-mana saja yang dia mahu.

Untuk mengisi masanya, dia sering berlegar di sekitar kota dengan melewati satu tempat ke satu tempat. Melalui pemerhatiannya, kota ini berkembang pesat , sentiasa ada bangunan baru dibina. Penduduk di sini juga baik. Mungkin kerana politik dan ekonomi stabil atau mungkin juga kerana tatacara hidup di sini telah distruktur dengan baik oleh seseorang, fikirnya. Dia tidak tahu.

Namun sepanjang berada di sini, hanya satu yang tidak dapat dilangkaui, untuk menceroboh masuk bilik bernombor 663 yang didiami seorang gadis berambut perang. Tiap kali dia cuba merentasi dinding penghadang bilik tersebut, dia mendapati penglihatannya sudah merentasi seberang dinding sebelah sana seolah-olah ruang 8 x 10 kaki persegi dipadat menjadi sehelai kertas visual. Walaupun begitu, ia tidaklah bermakna ruang tersebut hanya khayalan, malah dia berasa gadis berambut perang itu benar-benar wujud, malah lebih daripada keberadaan dirinya sendiri.

Bagaimana dia mengetahui tentang gadis itu? Ia berlaku secara kebetulan, ketika dia berlegar-legar di sekitar koridor gelap bangunan, terdapat sebuah bilik yang bibir pintunya sedikit ternganga dan cahaya suram dari dalam bebas keluar seolah-olah memanggil sesiapa yang lalu di sekitar. Dengan bukaan sebesar dua jari orang dewasa, kelihatan seorang gadis pegun di kerusi dan hanya tangan kecilnya tidak berhenti bergerak seperti menulis sesuatu yang tidak ada penghujung. Kemisterian gadis itu mendorong dia untuk selidik dengan lebih dekat.

Mimpi itu datang berterusan seperti biasa sehinggalah mimpi terakhir, sebuah mimpi aneh. Sebaik sahaja terbangun dari realiti, dia berasa seperti ada daya yang menariknya ke suatu arah. Apabila memandang ke bawah, sepasang kaki kelihatan berpijak di sebuah jalan tar, dan secara horizontal wujud bayang yang bersambung di hujung kasut berbentuk objek yang didiaminya. Atau dalam bahasa mudah, dia sebahagian daripada realiti kota tersebut, esensinya.

Dia melihat sekitar, takut-takut kehadirannya dianggap aneh, tapi semua itu cumalah perasaan kecilnya saja (mungkin sekecil bayi baru lahir), dia tetap dianggap seperti orang lain. Tanpa berfikir panjang, dia terus menuju ke bangunan itu, bangunan yang di dalamnya terisi kewujudan gadis berambut perang. Sepanjang perjalanan, dia berasa seperti ada sesuatu yang pelik dengan kota tersebut. Pada satu tempat, jalan raya  teramat sunyi dari lautan
manusia dan pada satu tempat lain, dia terserempak sebuah protes manusia menuntut sesuatu. Tapi semua itu seperti angin berlalu, ia tidak dapat mengambus harapannya untuk bertemu gadis itu.

Sejam kemudian, dia tiba di bangunan tersebut lalu melangkah perlahan-lahan ke arah bilik tersebut. Sebelum masuk, dia perlu pastikan idea ini benar-benar selamat. Dia mengintip melalui bukaan kecil pintu, seperti biasa,  gadis itu  berseorangan dan masih setia dengan kerusinya, namun yang berbeza ialah kedua- dua belah tangan dibiar bebas menghala ke bumi. Gadis itu tidak lagi menulis seperti tahun-tahun sebelumnya.

Tanpa berfikir panjang, dia mengetuk pintu bilik. Gadis itu perlahan-lahan berpaling ke arahnya lalu memberi senyuman, mungkin senyuman paling manis yang pernah diberi kepada sesiapa sahaja. Gadis itu berdiri, lalu berjalan ke dinding sebelah kirinya. Dengan menoleh sekali lagi, tanpa ragu-ragu di raut wajah, gadis itu maju dan terus hilang menembusi dinding konkrit.

Waktu seolah-olah berhenti seketika.

Dia berjalan perlahan-lahan ke kerusi dan duduk untuk tenangkan diri. Setelah kembali tenang, matanya meliar, tiba-tiba berhenti di satu sudut, dia melihat sebuah buku biru terletak di meja, betul- betul di hadapannya. Apabila dia menyelak satu persatu, tahulah dia bahawa catatan tersebut milik gadis itu. Dia membaca penuh khusyuk cerita indah yang dikarang. Jika gadis itu seorang pelukis, sudah tentu dia dapat melakar sebuah lukisan indah tentang
sebuah kota besar.

Kadang-kadang dia terasa pernah mengalami peristawa sama seperti cerita yang dibaca. Tapi ia tidaklah mustahil, persimpangan antara jalur kehidupan manusia sentiasa berselirat satu sama lain, membentuk ruang antara autonomi dan kolektif. Walaupun badannya penat, dia tetap meneruskan bacaan sehinggalah di beberapa muka surat terakhir, dia perasan akan kelainan terhadap cerita yang cuba disampaikan. Kelainan dalam pelbagai bentuk ― naratif cacat berbentuk fragmen, mungkin banyak yang berulang-ulang, dan contengan seperti lakaran tidak siap.

Mungkin ini penyebab gadis itu berhenti menulis, mungkin dia tidak tahu untuk menukar imaginasinya ke bentuk tulisan atau mungkin juga dia terperangkap dalam bahasanya sendiri ― jika dia meneruskan tulisan ini seperti yang dia mahu , mungkin tulisan sebelumnya akan runtuh tanpa makna, dan…

Lakaran bangunan lama adalah perkara terakhir yang dilihat sebelum penglihatannya gelap.

Setelah semuanya selesai, dia terus pulang. Jam menunjukkan pukul lapan malam setibanya di rumah. Kepalanya pening; dia tidak tahu sama ada kerana cuaca petang tadi ataupun mimpi aneh di pejabat yang membawanya ke kawasan bangunan yang diroboh.

Dia masuk ke bilik bacaan, lalu duduk menghadap tingkap. Di sebalik bunyi angin malam meniup lembut, kelihatan cahaya lampu kuning-suram terlepas dari celahan dahan dan daun pokok  kemboja di seberang jalan besar hadapannya. Dia menoleh ke kiri ― ke arah tingkap terbuka, biasan wajah seorang gadis berambut perang muncul samar-samar dilatari bayang daun pohon kemboja. Dia menundukkan kepala sedikit lalu memandang sebuah buku kecil di hadapan, dengan memegang pen di tangan kanan; dia tahu bahawa dia perlu membina sebuah kota baru
sehinggalah seseorang datang mengetuk pintu biliknya.