Categories
SELANGOR

Kejayaan Selangor model PAKATAN ke Putrajaya

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 7 DIS: Kejayaan pentadbiran Kerajaan Negeri diketuai Pakatan Harapan (PAKATAN) dengan agenda Inisiatif Peduli Rakyat (IPR), akan menjadi model terbaik untuk diangkat ke Putrajaya, selepas pillihan raya umum (PRU) nanti.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia terbukti menerusi pelbagai kejayaan ekonomi diraih Selangor, sekali gus menafikan dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa PAKATAN tidak bersedia mengambil alih pentadbiran negara.

“Kita berjaya melaksanakan banyak program IPR dan kejayaan ini yang ingin dibawa ke peringkat nasional supaya rakyat Malaysia yakin PAKATAN berkemampuan mentadbir negara dan mengurus ekonomi dengan lebih cekap juga berintegriti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Jelajah IPR, di kawasan Flat Sri Sementa, Jalan Kapar, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, PAKATAN menunjukkan contoh pentadbiran baik bagi mengagihkan hasil kekayaan secara adil kepada semua kaum dengan rakyat menikmati kehidupan lebih baik, sejak 2008 berbanding lebih 50 tahun di bawah Umno-BN.

“Kalau kita berjaya di Selangor dan sudah pun berjaya di Selangor, mudah untuk mentadbir di Putrajaya selepas PRU akan datang,” katanya sambil meminta rakyat tidak terpedaya dengan dakwaan Najib kononnya rakyat khususnya Melayu akan ‘menjadi bangsat’ tanpa Umno-BN.