Categories
SELANGOR

Sistem mega ICT MPAJ dukung Smart Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

AMPANG, 12 DIS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kini proaktif bergerak selari dengan gagasan Smart Selangor menerusi empat sistem mega ICT yang menepati Mobile ICT (M-ICT) dan Internet of Things.

Yang Dipertuanya, Abd Hamid Hussain berkata, sistem mega ICT itu merupakan sistem interaktif yang mengintegrasikan antara pangkalan data Sistem maklumat geografi (GIS) dengan pangkalan data hasil.

Katanya, sistem itu sudah dipatenkan dan turut dilengkapi dengan 12 aplikasi mobil yang membenarkan kakitangan MPAJ melaksanakan semakan maklumat, cetakan dan kutipan secara maya di tapak melalui konsep M-ICT.

“Ini bermakna dengan hanya satu klik pada lot parcel lapisan GIS akan mampu memaparkan semua butiran hasil pemilik lot parcel berkenaan.

“Proses pemantauan turut dipermudahkan dengan capaian dan pengemaskinian data secara langsung.

“Ia juga mewujudkan senario pejabat maya bagi MPAJ agar ia dapat memberi perkhidmatan yang lebih cemerlang kepada penduduk dan pelanggannya,” katanya di Majlis Apresiasi Inovasi 2017, baru-baru ini.

Abd Hamid berkata, aplikasi berteraskan Internet of Things itu memberi penyelesaian holistik menerusi pengemasan data secara serentak pada tiga pangkalan data yang berbeza.

“Ini akan turut menyokong proses keputusan di peringkat pengurusan atasan dalam memantau pengurusan kewangan MPAJ.

“MPAJ turut disokong tiga sistem mega utama iaitu laman web MPAJ yang merupakan antara muka utama bersama pelanggan,” katanya.

Beliau turut komited MPAJ mampu menyahut dan merealisasikan Belanjawan Selangor 2018.

Katanya, usaha MPAJ dalam meningkatkan mobiliti dan penyambungan itu mampu membantu Selangor menerajui transformasi digital untuk membina sebuah negeri yang pintar.