Categories
SASTERA

Teater Natrah: Dari sisi perlawanan

Oleh Haizir Othman

Foto Pusat Kebudayaan Universiti Malaya

MEMENTASKAN peristiwa besar dalam sejarah negara adalah kerja mudah dan sukar sekaligus, atau setidak-tidaknya kedua-duanya datang berturutan. Mudah kerana khalayak mudah tertarik untuk hadir menonton
lantaran pengaruh besar peristiwa tersebut. Sukar pula kerana khalayak yang hadir sudah ada jangkaan yang perlu diurus sebaik-baiknya.

Dan jika mahu dibandingkan, parameter “sukar” itu kira-kira lebih besar siginifikannya daripada ukuran “mudah” yang dirasai para penggerak pementasan kerana mengurus persepsi penonton adalah pekerjaan tersukar di dunia. Kamu buat sedikit kesilapan sama ada mengguris sensitiviti mereka, mencalar ego mereka atau merendahkan intelektual mereka, pementasan kamu bakal dibenci dan respon yang bakal diterima pada kemudian hari barangkali menakutkan.

Sekumpulan pelajar tahun akhir Jabatan Drama Universiti Malaya dari 23 –26 November lalu bermain permainan ini – permainan risiko yang kadang kala senior mereka dalam teater pun tidak berani masuk gelanggang, apabila mengangkat naskhah yang diinspirasi dari peristiwa besar yang pernah menggoncang tiang mahkamah Inggeris dan tiang keimanan orang Islam satu ketika dulu, untuk dipentaskan. Sama ada mereka berjaya atau tidak dalam pekerjaan itu, jawapan peribadi akan saya simpan sehingga tulisan ini selesai, tapi buat masa ini sekurang-kurangnya mereka telah mengingatkan kita semula kepada watak utama dalam peristiwa besar tersebut – Natrah, Che Aminah, Mansor Adabi, Ahmad Ibrahim, Karim Ghani, Dr Burhanuddin Helmi, Datuk Onn dan lain-lain.

Yang terpenting dalam peristiwa tersebut bukanlah batang tubuh Natrah atau percintaannya dengan Mansor, mahupun status bangsawan Che Aminah, tapi perlawanan. Acara terpenting dalam peristiwa Natrah sayugianya adalah rusuhan; yang berlaku di Singapura sehingga mengorbankan belasan nyawa dan ratusan cedera. Natrah hanyalah seorang kanak-kanak biasa berusia 13 tahun ketika itu. Namun disebabkan dia berkulit putih dari bangsa penjajah bukannya berkulit sawo matang dari tanah jajahan, dia telah menjadi garisan lurus yang membezakan mana satu kelas manusia mulia dan mana satu kelas manusia bangsat – satu pekerjaan malang yang sayangnya tidak dipilihnya sendiri.

Pembezaan manusia kepada kelas tertentu mengalami sejarah panjang. Tokoh pemikir Karl Marx, lewat teori kelas mendefinisikan kelas sebagai set hubungan sosial yang diwarisi dari satu generasi kepada satu generasi lain. Kelas membahagikan manusia kepada tuan dan hamba dalam ruang lingkup produktiviti. Mentaliti tuan, beban orang putih, mitos peribumi malas dan selainnya, sudah berakar lama dalam sejarah kolonial Barat dalam memandang orang yang mereka jajah. Tidak betah dalam pandangan mereka, orang yang dijajah itu berkeupayaan dalam sebarang hal melainkan dibantu oleh si penjajah yang superior dari segala segi.

Penyerahan Natrah kepada Che Aminah sebagai anak angkat apatah lagi dibesarkan sebagai seorang Melayu beragama Islam telah mencabar status quo ini dengan sangat kuat; bagaikan satu tamparan ke pipi pucat mereka. Sekonyong-konyong, Natrah mahu dimiliknegarakan Belanda, dijadikan komoditi politik, hilang pemilikan atas dirinya sendiri apatah lagi pemilikan oleh Che Aminah yang telah sah diserahkan ibu kandungnya, Adeline sebelum itu. Kegagalan Belanda mengekalkan Indonesia sebagai jajahannya selepas 300 tahun amat memalukan. Membawa Natrah balik ke Belanda adalah langkah terdesak menjaga air muka penjajah yang kalah perang – perlu dilaksanakan dengan apa cara sekalipun.

Kata tokoh filsafat pendidikan, Paulo Freire, kebebasan diperoleh dengan perlawanan, bukan melalui pemberian. Memelihara hak Natrah memperoleh kehidupan selesa dalam jagaan Che Aminah tidak dapat dilakukan begitu sahaja dengan restu Belanda. Ia perlu diperjuangkan. Maka, di sana muncul Karim Ghani, M A Majid, Muhammad Taha Kalu, Dr Burhanuddin Helmi dan lain-lain dalam Jawatankuasa Tindakan Natrah. Dan, selebihnya, seperti kata orang, adalah sejarah.

Rusuhan 11 dan 12 Disember 1950, di sebalik peristiwa malang yang mengorbankan nyawa dan kehancuran harta benda, menghantar mesej jelas kepada Belanda dan Inggeris; yang berada dalam kelas “penindas” dalam susunan Freire. Mesejnya adalah; jika kena pada tempat dan ketikanya, orang Melayu-Islam boleh jadi berani melawan tuan orang putih mereka walaupun akan tunduk sopan pada kebanyakan masa lain.

Pelantikan Karim Ghani, seorang India Muslim sebagai ketua Jawatankuasa Tindakan Natrah, muafakat rentas parti politik antara Dr Burhanuddin Helmi dari PKMM dengan Sardon Jubir dari Umno, sokongan Tunku dan sikap tidak peduli Datuk Onn, suntikan inteligen dari Muhammad Taha Kalu yang merupakan bekas anggota polis British, peranan akhbar Utusan Melayu, Melayu Raya, Warta Negara, Malayan Nanban, The Dawn dan lain-lain, menarik untuk diperhatikan sepanjang peristiwa ini. Begitu juga kecaman mufti Kelantan terhadap perusuh yang mengaitkan rusuhan tersebut dengan kemurkaan Allah.

Ya, sentiasa ada dua sisi pada sekeping syiling. Sebagai contoh, masyarakat Belanda mahukan Natrah, langsung berjuang untuk membawanya pulang. Begitu juga tindakan Zaharah Mohamad dari Pertubuhan Kebajikan Perempuan Islam yang menyokong peruntukan Rang Undang-undang Perkahwinan Laycock, seorang peguam British yang mencadangkan agar perkahwinan bawah umur 16 tahun tidak sah di Singapura, selain khalayak Melayu lain yang tidak mahu berkonfrontasi dengan Inggeris atas alasan mahukan keamanan dan kesejahteraan. Dalam situasi sedemikian, di posisi manakah kita mahu mengambil tempat?

Sebagai menjawab persoalan awal tentang adakah persembahan teater Rusuh—Nadra karya A Wahab Hamzah, arahan Aris Othman, berjaya atau tidak, kelahiran tulisan ini sebenarnya menunjukkan ia berjaya, sekurang-kurangnya membuatkan penulis dan pembaca membaca semula sejarah Natrah yang sudah lama tidak diwacanakan. Selebihnya, terpulang kepada individu untuk menentukan sikap dan pendirian yang mahu diambil, juga kebaikan yang ada dari peristiwa besar ini.

* Haizir Othman aktif menulis cerpen, sajak dan esei, malah menghasilkan beberapa antologi. Beliau juga antara pemenang Hadiah Sastera Selangor 2017.