Categories
GLOBAL

Tembin: Lebih sejuta diarah pindah, ratusan terkorban

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 26 DIS: Lebih sejuta penduduk Vietnam yang tinggal di kawasan rendah sepanjang pesisiran pantai di negara itu diarah pihak berkuasa berpindah ekoran kedatangan ribut tropika Tembin melanda kawasan negara itu.

Sebelum ini ribut Tembin membadai Filipina dengan lebih 240 terkorban ketika mana pasukan penyelamat Filipina bertungkus lumus menyelamatkan mangsa dengan jangkaan angkat korban dan mangsa terus meningkat.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan 74,000 penduduk di Vietnam sudah dipindahkan ke kawasan selamat, sementara pihak berkuasa di 15 wilayah dan bandar bersiap sedia untuk memindahkan lebih satu juta lagi penduduk.

Kerajaan turut mengarahkan pelantar minyak dan kapal meningkatkan tahap keselamatan serta berlindung di kawasan lebih selamat, manakala 62,000 bot nelayan diminta supaya tidak turun ke laut.

Sementara itu BBN NEWS melaporkan kekuatan ribut itu semakin perlahan ketika membadai selatan Vietnam dan dijangka terus melemah.

Pusat Ramalan Cuaca menjangkakan kekuatan tiupan Tembin pada 93km/jam.

Di Filipina dilaporkan lebih 100 masih hilang serta memusnahkan jambatan dan jalan raya di selatan kepulauan Mindanao ketika mana kira-kira 1,000 rumah rosak dan memusnahkan kawasan penanaman padi.