Categories
SELANGOR SENI

Exco anggap isu ‘Budaya Budiman’ selesai

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 26 DIS: Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari menganggap isu penganjuran Festival Bahasa dan Persuratan Melayu Serantau selesai.

Beliau berkata, sebarang keperluan untuk mengulas isu itu tidak munasabah selepas mengambil kira sambutan penyertaan umum dalam program itu.

“Saya sudah berikan kenyataan (sebelum ini) kerana Kerajaan Negeri sentiasa mengikut peraturan. Program itu dihadiri tiga Sasterawan Negara termasuk Sasterawan Negara yang baru, Dr Zurinah Hassan.

“Tidak dilupakan beberapa budayawan lain dari luar turut hadir dan menarik lebih 1,000 hadirin.

“Jadi tidak mengapalah, ada pihak bertanya. Tetapi dakwaan kononnya program itu tidak dapat sambutan itu saya sanggah,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi yang menyifatkan program berkenaan sebagai ‘syok sendiri’ dan gagal.

Budiman mendakwa, pemilihan penganjur program juga dibuat secara terus kepada Pusat Kajian dan Dokumentasi Pementasan Tradisional (PUSAKA).

Bagaimanapun Amirudin sebelum ini dalam satu kenyataan di Twitter menegaskan, proses pelantikan dibuat secara tertib dengan kebenaran pihak kewangan negeri.

“Budiman harus semak fakta sebelum memberi komen. Beliau tidak hadir sekali pun dalam sesi dan lantas anggap program itu gagal, walaupun sebenarnya beliau tidak layak untuk komen,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta bagi penganjuran program diadakan bermula 7 hingga 10 Disember lalu.

Difahamkan, 30 program kesenian, sastera dan kebudayaan diaturkan sepanjang festival berlangsung.

=EZY=