Categories
SELANGOR

Warga emas cari keluarga

OLEH SABIRAH AZIZ

PUCHONG, 28 DIS: Seorang warga emas, Chang Ah Song, hari ini memohon bantuan untuk mencari ahli keluarganya yang gagal dikesan sejak tahun 2003, di Pusat Khidmat DAP Kinrara, di sini.

Ahli Dewan Negeri Kinrara, Ng Sze Han berkata, Ah Song, 74, datang ke pusat khidmat bagi meminta kerjasama daripada pelbagai pihak dan media supaya dapat mencari isteri juga empat anaknya yang kali terakhir tinggal, di Rawang.

“Saya memohon kepada sesiapa yang mempunyai maklumat atau mengenali isteri dan empat anaknya ini supaya tampil membantu juga terus menghubungi pihak kami.

“Sebelum ini, Ah Song pernah cuba mencari sendiri ahli keluarganya dengan pelbagai cara, namun masih gagal dan beliau memaklumkan salah seorang anak lelakinya kini bekerja sebagai pensyarah juga menetap di Puchong tetapi tidak berjaya ditemui.

“Jadi, saya meminta isteri dan anaknya menghubungi pihak kami untuk bertemu Ah Song yang amat merindui ahli keluarganya,” katanya.

Ahli keluarga dan orang ramai boleh menghubungi pembantu Sze Han, Rachel Lee di talian 019-6636296 atau terus menghubungi nombor telefon pejabat Pusat Khidmat DAP Kinrara, di talian 03-80821661.

Sementara itu, Ah Song yang pernah bekerja sebagai tukang kayu berkata, sudah banyak kali dia cuba menghubungi nombor telefon isteri dan anaknya tetapi gagal dihubungi.

“Ketika zaman bekerja dulu, memang saya selalu pergi bekerja jauh dan kali terakhir adalah di Johor selama enam bulan untuk mencari duit bagi menyara keluarga.

“Bagaimanapun, apabila saya pulang semula ke rumah di Rawang, ia sudah dijual dan terdapat orang lain yang tinggal, di situ.

“Kemudian, saya ada bertanya kepada ahli keluarga isteri, namun mereka juga tidak tahu di mana keluarga saya tinggal selepas itu,” katanya.

Justeru itu, Ah Song yang kini tidak mempunyai tempat tinggal tetap dan tidak bekerja memohon isteri juga empat anaknya datang berjumpa beliau yang berusaha mencari mereka, kira-kira 14 tahun lalu.

Difahamkan, isterinya, Siau Chew Hua kini berusia 70 tahun, dua anak perempuannya Chang Hui Yan, 50 dan Chang Hui Chui, 48, manakala dua anak lelakinya Chang Jin Siang, 43 dan Chang Jin Wei, 29 tahun.