Categories
GLOBAL

32 penduduk Mombasa dijangkiti Chikungunya

KENYA, 10 JAN: Sejumlah 32 penduduk Mombasa, Kenya dimasukkan ke beberapa hospital umum sekitar daerah itu ekoran dijangkiti virus chikungunya.

Pada 8 Januari lalu, Gabenor Mombasa, Hassan Joho melancarkan lima kenderaan kawalan vektor dengan mesin dan bahan kimia baharu bagi mengasapi kediaman di daerah terbabit selepas penularan wabak chikungunya yang mendatangkan ancaman.

Daerah Mombasa juga terpaksa bergelut dengan penularan wabak kolera dalam tempoh kurang tiga bulan yang menyaksikan puluhan penduduk dimasukkan ke hospital dan beberapa tempat makan juga diarah tutup, lapor BERNAMA.

Jabatan kesihatan daerah itu mengeluarkan satu laporan berhubung penularan virus chikungunya, pada 7 Januari lalu.

Joho turut mengesahkan terdapat 120 kes disyaki dan 32 disahkan dijangkiti virus berkenaan daripada jumlah itu dengan kawasan paling terjejas ialah Changamwe juga Mvita.

Joho menggesa penduduk Mombasa bekerjasama rapat dengan kerajaan daerah untuk menguruskan sampah dalam usaha membasmi kawasan pembiakan nyamuk.

Beliau berkata, ancaman sampah lebih banyak disumbangkan oleh pengumpul sampah swasta dan kerajaan daerah sedang berusaha menggubal undang-undang kecil yang akan menamatkan pembuangan sampah ,di daerah itu.

Joho juga berkata, kerajaan daerah itu mengambil langkah secukupnya bagi menangani penularan virus chikungunya.