Categories
EXCO SELANGOR

Tiada kes Chikungunya di Selangor, namun waspada

SHAH ALAM, 1 JUN: Tiada kes aktif penyakit Chikungunya dilaporkan di Selangor setakat hari ini walaupun berlaku peningkatan kes di negeri lain, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud bagaimanapun berkata Kerajaan Negeri tetap mengambil langkah berjaga-jaga terutama di sempadan negeri susulan peningkatan kes wabak tersebut di Perak.

“Walaupun tiada kes Chikungunya di Selangor tetapi langkah berjaga-jaga tetap diambil antaranya melibatkan kawasan sempadan seperti di Hulu Selangor.

“Dalam masa sama kita minta masyarakat jaga kebersihan persekitaran dengan hapuskan tempat pembiakan nyamuk sama ada tempat longgokan sampah, rumah tidak berpenghuni, longkang serta tong tadahan air tidak bertutup di dalam dan di luar rumah,” katanya.

Kelmarin Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata bilangan kes Chikungunya di negeri tersebut meningkat 30 kali ganda apabila merekodkan 454 kes sejak awal tahun hingga 23 Mei lalu, berbanding hanya 13 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

46,713 kes denggi setakat 30 Mei – CPRC

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Sejumlah 46,713 kes denggi dilaporkan dari 29 Dis tahun lepas hingga 30 Mei tahun ini, demikian menurut Laporan Situasi Semasa Denggi, Chikungunya dan Zika di Malaysia Bagi Tahun 2019 dan 2020.

Angka dikeluarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis Negara (CPCR) Kementerian Kesihatan menunjukkan penurunan sebanyak 6,228 kes (11.8 peratus) berbanding 52,941 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Laporan itu turut menyebut bahawa tidak kematian akibat denggi dilaporkan pada minggu ke-22 (24-30 Mei) 2020 dengan jumlah kumulatif 82 kematian berbanding 81 bagi tempoh sama tahun lepas.

“Sepanjang minggu ke-22 dalam tahun 2020, sejumlah 1,625 kes denggi telah dilaporkan yang menyaksikan penurunan sebanyak 8.8 peratus berbanding minggu sebelumnya,” menurut laporan yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di laman Facebook beliau hari ini.

Setakat minggu ke-22 tahun ini, Selangor mempunyai angka tertinggi kes denggi iaitu 26,943 kes diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (4,617) serta Johor (4,111).

Laporan CPRC turut menyatakan bahawa 48 kes Chikungunya dilaporkan sepanjang minggu ke-22 dengan jumlah keseluruhan 596 kes dicatatkan dari 29 Disember tahun lepas hingga 30 Mei 2020.

Menurut laporan itu, Pengawasan Zika dilakukan oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dari 29 Dis 2019 hingga 30 Mei 2020 manakala saringan dilakukan ke atas sampel darah dan air kencing individu dengan gejala disyaki namun tiada kes positif zika dilaporkan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Chikungunya: Dua lagi kes dikesan di Kota Setar

ALOR SETAR, 29 JUN: Dua lagi kes demam Chikungunya dikesan di Kota Setar, menjadikan jumlah keseluruhan individu dijangkiti wabak itu di Kedah 37 orang setakat ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata pertambahan dua kes itu dikesan di deretan kedai berhampiran City Plaza di sini, manakala tiada kes baharu dilaporkan di Simpang Kuala dekat sini.

“Walaupun terdapat peningkatan kes dalam wabak ini, siasatan menunjukkan bahawa kesemua kes terdedah kepada jangkitan sebelum aktiviti kawalan dilaksanakan berdasarkan tarikh mula tanda dan gejala atau tarikh onset,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Norhizan berkata aktiviti kawalan vektor di Simpang Kuala yang bermula 25 Jun lalu diteruskan dan sebanyak 97 premis di sekitar kawasan tersebut diperiksa.

“Sebanyak 12 kompaun telah dikeluarkan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dikeluarkan kepada pemilik premis yang membiak Aedes.

“Pegawai kami turut melakukan pemeriksaan dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes di sekitar kediaman dan premis perniagaan,” katanya.

Dr Norhizan berkata pihaknya turut memaklumkan kepada hospital dan klinik swasta untuk melaporkan kes yang mempunyai tanda dan gejala berkaitan penyakit itu kepada pejabat kesihatan daerah.

Katanya, orang ramai yang mempunyai gejala demam dan sakit sendi terutama penduduk di sekitar lokaliti terlibat dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan lanjut di klinik atau hospital berdekatan.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

14 individu disyaki hidap Chikungunya di Alor Setar

ALOR SETAR, 23 JUN: Seramai 14 individu yang tinggal di deretan rumah kedai berhampiran City Plaza, di sini disyaki mengidap penyakit chikungunya selepas mempunyai tanda-tanda demam, sakit sendi yang teruk dan ruam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Setar yang tidak menerima sebarang maklumat berkaitan kes tersebut menjalankan siasatan segera selepas kes itu tular di media sosial, semalam.

“Siasatan awal mendapati gejala itu bermula pada 9 Jun lepas di mana kebanyakan mereka telah mendapatkan rawatan pesakit luar di klinik swasta sekitar Alor Setar namun keadaan mereka dilaporkan stabil.

“Berdasarkan tanda dan gejala yang dikesan telah mengesyaki mereka yang berumur antara 35 hingga 50 tahun itu berkemungkinan menghidap penyakit chikungunya, namun tidak menolak kemungkinan ia berpunca dari penyakit lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Norhizan berkata, siasatan lanjut masih sedang dijalankan termasuk menghantar sampel untuk ujian makmal di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh, Selangor.

“Buat masa ini, PKD sedang menjalankan tindakan pencegahan dan kawalan termasuk membuat pengesanan kes secara aktif (ACD) di sekitar kawasan berkenaan.

“Sekiranya orang ramai terutamanya penduduk di kawasan Jalan Tunku Ibrahim sekitar City Plaza mempunyai gejala demam dan sakit sendi dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan lanjut di pusat kesihatan yang berdekatan,” katanya.

Beliau berkata, maklumat lanjut mengenai kes itu akan dihebahkan dari semasa ke semasa dan orang ramai dinasihatkan mengelak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

“Kita juga menggesa semua pihak terutama masyarakat setempat mengambil tindakan pencegahan untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes bagi mencegah jangkitan chikungunya , denggi dan zika,” katanya.

– BERNAMA

 

 

Categories
SELANGOR

Tiada kes baharu chikungunya di Tanjung Sepat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 6 MAC: Tiada kes baharu membabitkan wabak chikungunya dilaporkan di Tanjung Sepat sehingga hari ini, kata Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah.

Beliau berkata, keadaan semakin terkawal ekoran penduduk sentiasa berjaga-jaga termasuk mengambil langkah keselamatan seperti mengurangkan aktiviti luar rumah terutama pada waktu petang.

“Walaupun keadaan mula stabil, namun kita tetap melakukan pemantauan rapi dan terbaru penduduk turut menjalankan kerja gotong-royong secara besar-besaran.

“Saya berharap keadaan terus stabil memandangkan sebelum ini Tanjung Sepat mencatatkan kes chikungunya tertinggi dalam negara,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 11 Februari lalu, SelangorKini melaporkan Tanjung Sepat mencatatkan 23 kes chikungunya, sekali gus menjadikan Selangor paling tinggi mencatatkan kes berkenaan.

Ia diikuti Melaka dengan sembilan kes, Kelantan (enam) dan satu kes, di Perlis.

Jumlah kes itu direkodkan bermula dari 29 Januari hingga 7 Februari lalu.

 

Categories
PBT SELANGOR

Chikungunya: MDKL anjur gotong-royong

OLEH UMIRAH IZRIN

BANTING, 28 FEB: Dalam usaha membasmi wabak chikungunya daripada merebak, Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bakal menganjurkan gotong-royong perdana, di Tanjung Sepat, pada 2 Mac ini.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, langkah itu juga dapat mengaktifkan pembabitan masyarakat setempat dalam mencegah dan mengawal wabak berkenaan.

“Kebersihan adalah tanggungjawab bersama, justeru orang awam perlu mengambil tindakan pencegahan sebelum ia berlarutan.

“Kita mohon orang awam supaya berhati-hati, periksa dan hapuskan semua bekas berpotensi menakung air,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MDKL Bil 02/2019, di Bilik Cempaka Kuning, di sini, hari ini.

Terdahulu, sebanyak 25 kes chikungunya dilaporkan di Tanjung Sepat.

 

Categories
NASIONAL

Tanjung Sepat catat 23 kes Chikungunya

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 FEB: Tanjung Sepat mencatatkan sebanyak 23 kes Chikungunya sekali gus menjadikan Selangor paling tinggi mencatatkan kes berkenaan.

Ia kemudiannya diikuti Melaka dengan sembilan kes, Kelantan (enam) sementara Perlis (satu).

Jumlah kes itu direkodkan bermula dari 29 Januari hingga 7 Februari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan telah mengambil maklum adanya kes Chikungunya di kalangan penduduk di Tanjung Sepat, Kuala Langat.

“Gejala yang dialami adalah demam, sakit sendi dan ruam namun semua kes dirawat sebagai pesakit luar dan tiada kematian yang dilaporkan,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Kementerian Kesihatan telah menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan dengan sebanyak 1,740 rumah telah dibuat semburan kabus terutamanya di kawasan kejadian.

Didapati kawasan berkenaan mempunyai kadar pembiakan Aedes yang tinggi iaitu 3.8 peratus.

Kementerian Kesihatan menyeru semua masyarakat dan jawatankuasa penduduk untuk meningkatkan aktiviti pembersihan persekitaran bagi memusnahkan tempat pembiakan Aedes di tempat masing-masing.

Pembabitan masyarakat dalam memastikan persekitaran bersih dan bebas dari pembiakan Aedes akan dapat mencegah penularan penyakit Chikungunya, Denggi dan Zika.

Categories
SELANGOR

Hebat kerja pembersihan cegah Chikungunya

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 FEB: Kerja pembersihan di kawasan yang terbabit dengan penyakit Chikungunya akan diperhebatkan bagi mencegah wabak berkenaan daripada terus menular.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, antara punca penyakit itu ekoran lawatan pesakit atau keluarga pesakit ke Hatyai, Thailand baru-baru ini.

Katanya, setakat ini seramai 15 pesakit dikenal pasti mempunyai simptom wabak penyakit berkenaan.

“Menurut Pusat Kesihatan Daerah Kuala Langat, terdapat 100 kes yang masih belum diterima senarainya dengan kesemuanya bermula dari 1 Januari sehingga kini.

“Mencegah Chikungunya seperti mencegah Aedes, jadi kita akan terus membasmi tempat pembiakan nyamuk termasuk mempergiatkan kerja pembersihan.

“Buat masa ini, kes masih terkawal dan kita berharap ia tidak akan berlarutan,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Daerah mengambil langkah awal menangani penyakit berkenaan, di Kuala Langat.

Katanya, antara langkah diambil membabitkan taklimat pencegahan dan semburan kabus di seluruh kawasan terbabit selain mengedarkan risalah serta ubat jejentik.

Sebelum itu, Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat 11 pesakit menghidap penyakit Chikungunya, di daerah berkenaan.

Categories
SELANGOR

Kes Chikungunya di Tanjung Sepat terkawal

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 FEB: Kes penyakit Chikungunya yang berlaku di kawasan Tanjung Sepat ketika ini masih terkawal.

Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Daerah mengambil langkah awal menangani penyakit berkenaan.

Katanya, antara langkah yang diambil membabitkan taklimat pencegahan dan semburan kabus di seluruh kawasan terbabit selain mengedarkan risalah dan ubat jejentik.

“Setakat ini, terdapat 11 kes sehingga 31 Januari lalu dan keadaan itu masih terkawal.

“Kita juga akan mengadakan gotong royong besar-besaran bersama Jabatan Kesihatan dan penduduk sekitar,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam, satu taklimat berkaitan penyakit itu diadakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat di Kompleks Muhibbah Pekan Tanjung Sepat.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat 11 pesakit menghidap penyakit Chikungunya di daerah berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat melaksanakan pengesanan kes secara aktif.

Katanya, penyakit itu adalah disebabkan oleh virus Chikungunya yang disebarkan oleh nyamuk Aedes, iaitu jenis nyamuk yang sama menyebarkan denggi.

Categories
NASIONAL

Kurangkan aktiviti pelancongan ke Hatyai elak virus Chikungunya

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 15 JAN: Kerajaan Perlis menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti pelancongan ke Thailand, khususnya Hatyai, berikutan penularan virus Chikungunya di wilayah itu baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Teh Chai Ann berkata, pihaknya kini sedang memantau secara ketat pelancong dari negara jiran itu yang masuk ke negara ini.

Katanya, tumpuan pemantauan itu dilaksana di pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand iaitu di Padang Besar, Wang Kelian dan Jeti Kuala Perlis bagi pengunjung yang menaiki feri dari Satun, Thailand.

“Pihak berkuasa termasuk Jabatan Kesihatan negeri akan melakukan pemeriksaan di pintu masuk dan mengenal pasti individu yang berisiko membawa virus itu agar penularannya dapat dikawal di negeri ini.

“Kita khuatir jika kawasan sempadan tidak dikawal dengan baik, penyakit itu boleh merebak dengan pantas ke negara ini.

“Jadi saya meminta rakyat dapat memberikan kerjasama kepada Jabatan Kesihatan negeri seandainya mereka perlu menjalani pemeriksaan ketika berada di pintu sempadan,” katanya dipetik Berita Harian.

Chai Ann berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan pasukan keselamatan dalam memastikan langkah kawalan dan keselamatan bergerak seiring.

“Ini kerana, pintu masuk di Padang Besar menjadi pilihan utama pelancong dari Hatyai kerana jaraknya lebih dekat berbanding pintu masuk di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

“Selain itu, kita juga sarankan pelancong dari Perlis agar menjalani rawatan pemeriksaan sekiranya mereka terkena demam panas, ruam di badan dan berasa sengal sendi sejurus pulang dari Thailand,” katanya.

Semalam, media tempatan Thailand, Bangkok Post, melaporkan virus Chikungunya iaitu jangkitan yang biasanya berlaku di Afrika dikesan berlaku di Hatyai.

Menurut laporan media berkenaan, berpuluh-puluh pesakit terpaksa mendapatkan rawatan di klinik di bandar berkenaan akibat jangkitan virus berkenaan.

 

Categories
GLOBAL

32 penduduk Mombasa dijangkiti Chikungunya

KENYA, 10 JAN: Sejumlah 32 penduduk Mombasa, Kenya dimasukkan ke beberapa hospital umum sekitar daerah itu ekoran dijangkiti virus chikungunya.

Pada 8 Januari lalu, Gabenor Mombasa, Hassan Joho melancarkan lima kenderaan kawalan vektor dengan mesin dan bahan kimia baharu bagi mengasapi kediaman di daerah terbabit selepas penularan wabak chikungunya yang mendatangkan ancaman.

Daerah Mombasa juga terpaksa bergelut dengan penularan wabak kolera dalam tempoh kurang tiga bulan yang menyaksikan puluhan penduduk dimasukkan ke hospital dan beberapa tempat makan juga diarah tutup, lapor BERNAMA.

Jabatan kesihatan daerah itu mengeluarkan satu laporan berhubung penularan virus chikungunya, pada 7 Januari lalu.

Joho turut mengesahkan terdapat 120 kes disyaki dan 32 disahkan dijangkiti virus berkenaan daripada jumlah itu dengan kawasan paling terjejas ialah Changamwe juga Mvita.

Joho menggesa penduduk Mombasa bekerjasama rapat dengan kerajaan daerah untuk menguruskan sampah dalam usaha membasmi kawasan pembiakan nyamuk.

Beliau berkata, ancaman sampah lebih banyak disumbangkan oleh pengumpul sampah swasta dan kerajaan daerah sedang berusaha menggubal undang-undang kecil yang akan menamatkan pembuangan sampah ,di daerah itu.

Joho juga berkata, kerajaan daerah itu mengambil langkah secukupnya bagi menangani penularan virus chikungunya.