Categories
SELANGOR

650 pelajar baru sertai INPENS, TVET semakin laris

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA SELANGOR, 9 JAN: Kolej Antarabangsa INPENS (INPENS) mencatat rekod baru apabila seramai 650 pelajar baharu mendaftar di kolej itu, hari ini, bagi pengambilan pelajar 2018.

Ia mengatasi catatan terdahulu bagi INPENS dengan angka tertinggi direkodkan bagi pengambilan sebelumnya adalah berjumlah 500 pelajar untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran.

Ketua Eksekutifnya, Ahmad Zabri Yaman, berkata perkembangan itu membuktikan kalangan pelajar menyedari Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah bidang yang menjadi keutamaan di banyak industri.

Katanya, ia ditambah dengan gelombang revolusi Industri 4.0 memerlukan lebih ramai tenaga mahir bagi menjayakan revolusi berkenaan.

“Masyarakat kini perlu yakin bidang kemahiran adalah untuk semua belia yang berpotensi dan bukan hanya untuk golongan keciciran akademik sahaja.

“Semakin ramai memilih aliran kemahiran kerana menyedari kepentingan tenaga mahir ini di dalam membangunkan ekonomi negara.

“Buktinya INPENS dibanjiri lebih 600 pelajar baru di mana kita berhasrat mengangkat martabat pendidikan kemahiran ke arah lebih tinggi dengan melahirkan alumni INPENS berkemahiran dan berkarakter unggul,” katanya.

Beliau berkata, belia berminat sentiasa boleh menghubungi INPENS di pelbagai medium seperti laman sesawang, panggilan telefon, facebook, instagram atau aplikasi whatsapp untuk mengetahui peluang melanjutkan pengajian.

Seorang pelajar baru, Syafiq Izani, 20, berkata, peluang melanjutkan pelajaran di kolej itu adalah landasan terbaik bagi mengubah kehidupannya.

“Saya berhasrat mendalami bidang automotif sehingga mampu menjadi usahawan automotif berjaya,” katanya yang mendaftar dalam pengajian bidang automotif.

INPENS beroperasi di sini, menjalankan kursus kemahiran sejak 2006 menawarkan pendidikan kemahiran di dalam automotif, motosikal, penyamanan udara, teknoloji maklumat, jahitan, kecantikan, dandanan rambut, kulinari, pastri, elektrik dan elektronik.

Sesi kali ini juga memperkenalkan satu kursus baharu iaitu semburan cat automotif.