Categories
NASIONAL

Ada masa kena berani jadi ‘Hang Jebat’

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 7 JAN: Anggota tentera dan keselamatan negara lain diseru untuk berani melakukan perubahan kepimpinan negara dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti (PRU14).

Pesara tentera, Kapten (B) Zainal Abidin Naus berkata, rakyat dan negara kini semakin kritikal dan tenat dengan urus tadbir Putrajaya yang caca merba.

Katanya, ia menyebabkan kos sara hidup semakin tinggi selain kedaulatan negara kini terdedah kepada pendatang luar.

“Pesara juga tertekan kerana duit pencen tidak mencukupi dan mendesak kami untuk terus bekerja bagi menampung kehidupan walaupun selepas bersara.

“Dahulu, tentera dan polis taat masuk hutan menjaga negara tetapi sekarang orang luar disambut dan diberi peluang melabur projek mega.

“Kita mahu jika Pakatan Harapan ambil Putrajaya, batalkan semua perjanjian sebegitu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Konvensyen Pakatan Harapan 2018, di IDCC di sini, hari ini.

Zainal Abidin berkata, perubahan juga amat dilakukan di peringkat tentera bagi menjamin masa depan lebih baik dan adil buat mereka.

“Rasanya kita tidak perlu lagi setia membuta tuli seperti Hang Tuah.

“Ada masanya kita perlu juga berani bertindak seperti Hang Jebat,” katanya.

=EZY=