Categories
NASIONAL

Wakil peneroka gesa tubuh RCI siasat Isa Samad

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 JAN: Wakil Peneroka Felda, Abdul Rahman Ramli menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Abdul Samad menyiasat sebarang salah laku.

Ketika menyampaikan ucapan pada sesi Pentas Rakyat sempena Konvensyen Pakatan Harapan 2018 di IDCC Shah Alam beliau melahirkan kekecewaan terhadap kerakusan berlaku terutama dalam soal membela nasib peneroka.

“Kita mahu RCI bagi menyiasat bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Abdul Samad.

“Kalau dahulu kita dengar baja, buah sawit yang hilang. Tetapi sekarang hak milik tanah Felda pun hilang.

“Saya juga kecewa dengan kepimpinan Felda dan kerakusan yang mereka lakukan,” katanya.

Katanya, peneroka kini didakwa dibebani hutang yang tinggi yang mencecah ratusan ribu ringgit dan bakal diwarisi generasi seterusnya kelak.

Lebih mengecewakan, kebersihan ladang juga gagal dilakukan sebaik mungkin sedangkan ia menjadi tanggungjawab pihak berkenaan.

“Seluruh Felda seperti bermasalah dari segi kebersihan dan pengeluaran hasil. Peneroka sepatutnya merasai kehidupan lebih selesa.

“Kebersihan ladang gagal dilakukan ekoran kekurangan tenaga pekerja. Ada cadangan untuk mewujudkan penempatan pekerja asing bahkan kita mendapat maklumat kos terpaksa ditanggung peneroka,” katanya.

=EZY=