Categories
NASIONAL

Anwar, Tun M ‘feel good factor’ buat PAKATAN

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 18 JAN: Beberapa langkah Pakatan Harapan (PAKATAN) sejak kebelakangan ini dilihat berjaya memberi impak ‘feel good factor’ terhadap sokongan rakyat kepada konsesus itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, antaranya sikap Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedia melupakan sengketa lama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dalam kamus politik, tindakan seperti ini dipanggil ‘feel good factor’ dengan keputusan melupakan sengketa lama untuk bersama berjuang mencapai misi yang sama .

“Keputusan Anwar itu tentulah bukan mudah tetapi beliau sanggup melupakan demi memastikan misi PAKATAN ke Putrajaya lancar,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Katanya, keputusan PAKATAN memilih Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri juga dianggap satu lagi ‘feel good factor’ buat gabungan itu.

Dr Ahmad Marthada berkata, hal itu ekoran pengalaman 22 tahun sebagai perdana menteri yang dimiliki Dr Mahathir mampu meningkatkan sokongan rakyat, khususnya masyarakat luar bandar terhadap PAKATAN.

“‘Feel good factor’ dalam politik merupakan salah satu elemen penting meraih sokongan rakyat seperti yang berlaku terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah ketika pertama kali memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh.

“Walaupun pada masa itu rakyat tahu beliau bukanlah ahli politik sejati, tidak berpengalaman, bukan pemidato hebat seperti Anwar tetapi beliau menang dalam pilihan raya kerana rakyat tahu beliau adalah isteri Anwar,” katanya.