Categories
NASIONAL

Banjir Terengganu : Jumlah mangsa meningkat 1,001

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 4 JAN: Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 1,001 mangsa daripada 264 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 329 orang (109 keluarga), pada malam tadi.

Sumber daripada Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, banjir yang sudah memasuki hari keempat itu mendapati 13 pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi setakat ini termasuk lapan pembukaan PPS baharu di Kemaman.

PPS baharu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 415 mangsa daripada 87 keluarga.

Manakala, tujuh PPS lain adalah Surau Pulau Tempurung (38 mangsa – tujuh keluarga), Dewan Orang Ramai Batu 14 (65 mangsa – 16 keluarga), Masjid Kampung Batu 14 (10 mangsa – tiga keluarga), SK Chukai (tujuh sekeluarga), Masjid Sungai Mas (20 mangsa – tujuh keluarga), Masjid Kampung Batu 16 Tebak (19 mangsa – enam keluarga) dan Dewan Sivik Felda Seberang Tayor (98 mangsa – 28 keluarga).

Empat PPS sedia ada pula kekal tidak berubah sejak malam tadi iaitu Dewan Orang Ramai Teladas, 21 mangsa (tiga keluarga), Surau Haji Othman di Kampung Seberang Tayor Hulu (18 mangsa – lima keluarga), Surau Kampung Ban Ho di Air Putih (26 mangsa – lima keluarga) dan Kampung Pasir Gajah (12 mangsa – empat keluarga).

Di Dungun, jumlah mangsa banjir tidak berubah iaitu PPS Dewan Orang Ramai Kampung Shukor kekal menempatkan 175 orang (61 keluarga) manakala di Dewan Orang Ramai Pasir Raja menempatkan 77 orang (31 keluarga).

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Shafruddin Ali Hussin berkata enam sekolah ditutup hari ini di Kemaman membabitkan 2,333 murid, 197 guru dan 31 anggota kumpulan pelaksana (AKP).

“Empat sekolah iaitu SK Pasir Gajah (213 murid), SK Tayor (199 murid), SK RKT Tayor (147 murid) dan SK Padang Kubu (264 murid) ditutup kerana laluan ke sekolah tidak dapat dilalui.

“SK Pusat pula ditutup kerana dinaiki air membabitkan 940 murid manakala SK Bukit Mentok (570 murid) pula ditutup kerana menjadi pusat pemindahan sementara mangsa banjir,” katanya.

Sumber – Bernama