Categories
NASIONAL

Anwar gesa Najib dan Kerajaan tidak bantah permohonan perkenan diraja

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 JAN: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Kerajaan Persekutuan tidak membantah permohonannya mengembalikan keperluan mandatori mendapatkan perkenan Yang Di-Pertuan Agong untuk membolehkan sesebuah rang undang-undang menjadi akta.

Beliau membuat permohonan itu di Mahkamah Persekutuan pada 2 Januari lalu menggesa pendengaran dapat diadakan secepat mungkin memandangkan kes itu bersifat kepentingan awam.

Katanya, Raja-Raja Melayu memainkan peranan penting dalam memastikan pihak eksekutif tidak menyalahguna demokrasi dan kerangka Perlembagaan Negara.

“Saya telah memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan dengan tujuan mengembalikan keperluan mandatori pengembalian keperluan mandatori perkenan diraja ini adalah untuk menjamin keseimbangan perlembagaan di antara pihak kerajaan yang dipilih dan institusi Raja-Raja Melayu yang kita warisi turun-temurun.

“Ia juga akan memelihara dan mempertahan peranan dan kedudukan Raja-Raja Melayu dan integriti institusi raja berperlembagaan,” katanya dalam kenyataan.

Pada Jun tahun lalu, Majlis Raja-Raja menyatakan kebimbangan terhadap rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara yang memberi kuasa darurat kepada Perdana Menteri dan Majlis Keselamatan Negara.

Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan dipimpin Barisan Nasional memilih untuk tidak mengendahkan kebimbangan Majlis Raja-Raja ini dan terus mewartakan Rang Undang-Undang (RUU) tersebut tanpa perkenan diraja.

“Insiden seperti ini belum pernah terjadi dan menjadi bukti betapa perlunya perkenan diraja dijadikan keperluan mandatori semula sebelum sesebuah rang undang-undang itu menjadi akta. Kerajaan BN seringkali berkata ia komited mempertahan kedudukan Raja-Raja Melayu,” katanya.