Categories
NASIONAL

Guru bebas mengundi dalam PRU14

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 22 JAN: Guru, pegawai dan penjawat awam mempunyai hak untuk mengundi mana-mana parti yang dirasakan terbaik untuk memimpin negara.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, guru adalah tulang belakang masyarakat yang bukan sahaja menjadi contoh, malahan membentuk generasi masa depan.

“Oleh itu, amatlah tidak patut menganggap mereka sebagai perkakas parti politik.

“Guru sepatutnya boleh berfikir untuk diri sendiri dan bertindak seperti yang difikir betul.

“Undi anda adalah suara anda. Jadi, marilah kita memberi pengajaran kepada mereka yang cuba mengugut dan merendahkan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mengugut akan memecat guru dan pegawai yang menyokong pembangkang.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, ekoran kecaman orang awam, komunikasi Kementerian Pendidikan cuba berdalih dengan menyatakan menteri hanya berniat memberi nasihat seperti seorang ‘bapa’.

Katanya, kenyataan dikeluarkan itu tidak patut kerana cuba mempengaruhi guru dan menakutkan mereka supaya tidak menyokong pembangkang.

“Sebagai Menteri Pendidikan, Mahdzir sepatutnya cukup berpendidikan memahami ini adalah negara demokrasi dengan rakyat mempunyai hak menyatakan sokongan kepada mana-mana parti.

“Respon menteri selepas teruk dikecam masyarakat, yang cuba berselindung di sebalik satu persona kebapaan juga hanyalah cubaan untuk mencabar kebijaksanaan rakyat yang sudah muak mendengar ugutan seperti itu terutama menjelang pilihan raya,” katanya.

Katanya, Pakatan Harapan akan berusaha sebaiknya untuk memastikan pekerjaan dan kehidupan harian para penjawat awam dijaga baik tanpa mengira fahaman politik.