Categories
NASIONAL SENI

Hazami : Jangan abai kebajikan penggiat seni negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 JAN: Ketika gendang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hampir bermula, rakyat Malaysia terus mengharapkan ‘sinar baru’ pentadbiran negara yang telus dan berintegriti.

Harapan sama turut dizahirkan selebriti tempatan, Hazami yang mengharapkan pentadbiran Kerajaan Persekutuan terus mengangkat martabat penggiat seni tanah air.

“Saya sebagai anak seni berharap kebajikan selebriti tempatan dan penggiat seni tanah air turut mendapat pembelaan sewajarnya dan tidak dipinggirkan,” kata penyanyi Sonata Musim Salju itu kepada SelangorKini.

Di peringkat Persekutuan, kebajikan selebriti negara ini antaranya dipantau Persatuan Karyawan Malaysia, Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M).

Walaupun pelbagai dasar diperkenalkan, namun beberapa selebriti tempatan masih meluahkan rasa kecewa terhadap komitmen pihak tertentu untuk membantu keperluan mereka.

Antara yang lantang sebelum ini, pelakon Tiz Zaqyah yang meluahkan rasa kecewa terhadap Persatuan SENIMAN, di Instagram.

Menurut Tiz, persatuan itu tidak mendatangkan sebarang faedah dan sering mengabaikan kebajikan artis tempatan.

Tiz berkata, sebagai ahli berdaftar, pelakon itu tertanya-tanya sebarang faedah diterimanya di bawah persatuan itu.

“Saya bukan sesiapa, sebaliknya hanya ahli biasa tetapi saya juga mempunyai hak untuk bersuara kerana turut membayar yuran keahlian.

“Suara kecil saya memerlukan seseorang untuk mendengarnya, tetapi siapa?

“Saya memilih (bersuara) di media sosial kerana lebih telus. Saya tidak perlukan apa-apa jawatan dalam persatuan, cukup sebagai ahli yang ikhlas bertanya dan memberikan pendapat. Sudah tentu, saya juga mewakili ahli SENIMAN yang lain,” katanya.

Kenyataan pelakon Nur Kasih itu turut disokong, Syazwan Zulkifly yang melahirkan kekecewaannya apabila tidak mendapat pembelaan selepas digam stesen televisyen tempatan, kerana mempunyai masalah dengan pelakon dari Singapura.

“Dah dua kali saya renew (perbaharui) keahlian SENIMAN, rasanya masalah saya ini (ada) keluar di blog dan surat khabar.

“Banyak sangat kes lain yang lagi penting agaknya bagi SENIMAN untuk diselesaikan berbanding masalah saya,” sindirnya.